PUTRAJAYA – Kerajaan bersetuju melaksanakan Program Insentif Pengecualian Sementara Fi Tukar Hak Milik (THM) kenderaan diesel selama tiga bulan bermula 1 Julai depan bagi memudahkan pemilik mengemas kini rekod pemilikan selaras dengan pelaksanaan mekanisme subsidi diesel bersasar menerusi Budi Diesel.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pengecualian itu melibatkan fi THM yang boleh mencecah sehingga RM100, bergantung kepada jenis kenderaan dan lokasi pendaftaran.
“Langkah ini mengambil kira pelaksanaan Budi Diesel yang menggunakan data pemilikan kenderaan dan cukai jalan aktif sebagai antara kriteria kelayakan.
“Dengan pengecualian ini, pemilik serta pengguna sebenar kenderaan diesel mempunyai ruang untuk memastikan maklumat pemilikan kenderaan adalah teratur dan selaras dengan penggunaan sebenar,” katanya dalam satu kenyataan dikeluarkan Kementerian Kewangan di sini tadi.
Kata kenyataan itu, bagi memudahkan urusan rakyat, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan membuka kaunter perkhidmatan pada hujung minggu dari 4 hingga 26 Julai bermula 8 pagi hingga 5 petang di semua Pejabat JPJ Negeri dan Pejabat JPJ UTC Negeri.
“Kaunter ini akan mengendalikan urusan berkaitan permohonan Budi Diesel, termasuk tukar hak milik kenderaan, pembaharuan Lesen Kenderaan Motor (LKM) atau cukai jalan serta urusan JPJ lain yang berkaitan,” katanya.
Langkah itu antara beberapa penambahbaikan dibuat kerajaan menjelang akses awal pelaksanaan Budi Diesel bagi penerima layak di Semenanjung Malaysia pada esok bagi memastikan peralihan berkenaan lancar.
Selain itu, kerajaan juga bersetuju agar kelayakan subsidi boleh dipindahkan kepada pengguna sebenar kenderaan yang mana Kementerian Kewangan akan membenarkan pemilik berdaftar kenderaan diesel memindahkan kelayakan subsidi diesel kepada ahli keluarga terdekat yang merupakan pengguna sebenar kenderaan tersebut.
“Langkah ini mengambil kira keadaan di mana kenderaan diesel digunakan oleh ahli keluarga terdekat yang berbeza daripada pemilik berdaftar kenderaan tersebut.
“Mekanisme pemindahan kelayakan ini akan dimaklumkan melalui saluran rasmi Budi Madani selepas perincian teknikal dimuktamadkan,” katanya.
Pada masa sama, Budi Diesel juga akan diperluas kepada pikap dan jip persendirian milik syarikat selepas mengambil kira maklum balas dan rayuan peniaga kecil serta pengguna kenderaan diesel untuk tujuan kerja harian.
“Jemaah Menteri turut bersetuju supaya Budi Diesel diperluas kepada kenderaan persendirian milik syarikat bagi jenis badan pikap dan jip.
“Perluasan ini dijangka memberi manfaat kepada pengguna yang menggunakan pikap dan jip diesel untuk perniagaan kecil, perjalanan harian dan aktiviti di kawasan luar bandar atau pedalaman, tertakluk kepada syarat yang ditetapkan,” katanya.
Sementara itu, akses awal Budi Diesel akan bermula esok bagi pengguna kenderaan diesel persendirian yang layak di Semenanjung Malaysia.
“Sepanjang tempoh akses awal ini, diesel bersubsidi boleh dibeli pada harga RM2.15 seliter melalui pengesahan MyKad di stesen minyak yang mengambil bahagian.
“Pelaksanaan penuh Budi Diesel akan bermula pada 1 Julai di seluruh negara dengan harga diesel bersubsidi RM2.10 seliter bagi rakyat Malaysia yang layak,” katanya.
Menurut Amir Hamzah, peralihan kepada Budi Diesel adalah untuk memastikan subsidi diesel sampai kepada rakyat Malaysia yang layak di samping menutup ruang ketirisan yang merugikan negara berbilion ringgit setiap tahun.
“Setelah mendengar maklum balas dan rayuan rakyat, Kerajaan Madani bersetuju melaksanakan penambahbaikan ini bagi melancarkan pelaksanaan Budi Diesel,” katanya. – KOSMO! ONLINE

5 hours ago
3

















































