PERSATUAN bola sepak negeri (FA) sepatutnya menjadi pihak yang paling terasa apabila Harimau Malaya kini terpaksa mengaktifkan pelan jangka masa pendek mempertaruhkan pemain warisan untuk memacu pasukan ke arah lebih baik di pentas antarabangsa.
Tanpa mempertikaikan usaha yang dilakukan pengurusan pasukan kebangsaan membawa balik pemain kacukan gred A, kejayaan projek yang dilakukan sekarang sepatutnya jadi pencetus kepada FA untuk berperanan sebagai ‘enjin’ bagi melahirkan lebih ramai pemain tempatan tulen berkualiti.
Pemerhati bola sepak tempatan, Zakaria Rahim, berkata tanggungjawab untuk melahirkan pemain berkualiti tidak boleh diletakkan kepada Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) saja sebaliknya badan induk itu juga perlu bantuan daripada FA.
“Di luar negara ada banyak pertandingan di pelbagai peringkat dan daripada situ akan ada lebih ramai bakat berpotensi. Sebaliknya berlaku di negara ini dimana tumpuan lebih menjurus kepada pertandingan utama seperti Liga Super saja namun sekarang mula ada pasukan tarik diri.
“Apabila bola sepak kini bertaraf profesional dan pasukan sudah berstatus kelab, apa pula fungsi FA negeri? FA tidak boleh lepas tangan dan saya cadangkan mereka buat liga ikut daerah atau apa-apa pertandingan seumpamanya kerana peminat masih ada kemahuan untuk menonton bola sepak.
“Mainlah di mana-mana stadium mini sekalipun, saya percaya stadium akan penuh kerana peminat masih sayang dan ada minat mendalam terhadap bola sepak. Lihat saja perlawanan persahabatan babitkan bekas pemain Kelantan, stadium dipenuhi ramai orang,” katanya.
Pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 sebelum ini, kualiti pemain warisan menjadi kunci utama kepada kejayaan Harimau Malaya yang membenam Vietnam 4-0 dan hanya Arif Aiman Hanapi menjadi pemain Malaysia tulen tunggal yang menyerlah apabila cipta dua bantuan jaringan.