F1: Punca Ferrari gagal didedahkan

6 hours ago 2

MONTREAL – Prinsipal Ferrari, Frederic Vasseur menegaskan jika pasukan itu berhasrat untuk kembali mendominasi barisan hadapan grid Formula Satu (F1), mereka perlu melalui hujung minggu perlumbaan dengan sempurna tanpa sebarang kesilapan.

Beliau nyata berang apabila strategi yang lemah serta keputusan yang tidak konsisten menyebabkan pasukan Itali itu gagal memanfaatkan potensi sebenar mereka di Grand Prix Kanada baru-baru ini.

Tegasnya, antara punca utama kegagalan itu termasuk kemalangan Charles Leclerc pada sesi latihan bebas pertama (FP1) serta strategi tayar yang tidak tepat menjadi punca mereka gagal bersaing untuk merebut podium.

“Kami mampu berada di hadapan, seperti yang kami tunjuk di Monaco dan di bahagian awal sesi kelayakan di sini (Kanada).

“Tapi untuk bermula di barisan depan, semuanya mesti dilalui dengan rapi dan bersih. Apa yang boleh saya katakan perlumbaan di Kanada, kami gagal teruk,” kata Vasseur.

Beliau turut mendedahkan Leclerc sepatutnya boleh mencabar petak hadapan selepas mencatat masa pertama terpantas dalam kelayakan, namun terganggu ekoran pemilihan tayar yang tidak tepat.

Vasseur mengakui pihaknya mungkin tersilap menggunakan tayar keras berbanding pesaing mereka menggunakan tayar medium yang lebih konsisten seperti yang dilakukan oleh George Russell (Mercedes) dan Max Verstappen (Red Bull)

“Isu utama adalah memahami penggunaan tayar dengan baik dan membuat pilihan tepat sejak awal hujung minggu. Kami mungkin terlalu optimistik mahu habiskan 50 pusingan dengan tayar keras.

“Dalam kes ini, Mercedes dan Red Bull melakukan tugas yang lebih baik berbanding kami dan McLaren. Kami perlu belajar daripada Mercedes. Mereka tidak mengubah kereta sepenuhnya, tetapi dari sesi pertama pagi Jumaat, mereka sudah bersedia. Itulah perbezaannya,” ujarnya. – AGENSI

Read Entire Article
Pertanian | | | |