MONTREAL – Harapan Lando Norris untuk terus memberi tekanan dalam perebutan gelaran dunia musim ini semakin sukar selepas pelumba McLaren itu melakukan kesilapan besar sehingga terbabit dalam pelanggaran dengan rakan sepasukan sendiri, Oscar Piastri di Grand Prix (GP) Kanada, kelmarin.
Insiden yang berlaku ketika baki perlumbaan tinggal tiga pusingan menyaksikan Norris gagal menamatkan perlumbaan, manakala Piastri berjaya menamatkan saingan di tempat keempat sekali gus melebarkan jurang mata dalam carta kejuaraan.
Norris yang tampil cemerlang dalam beberapa pusingan terdahulu, secara terbuka mengakui kesilapan sendiri apabila cuba memotong Piastri dari sebelah kiri dan ia satu tindakan yang disifatkannya sebagai ‘bodoh dan memalukan’.
“Semua salah saya. Saya fikir ada ruang, tapi ternyata keputusan itu terlalu berisiko, apatah lagi terhadap rakan sepasukan sendiri.
“Saya memalukan diri sendiri. Dalam pasukan, peraturan nombor satu ialah jangan sentuh kereta rakan sepasukan dan itulah yang saya lakukan. Saya rasa sangat bersalah dan telah memohon maaf kepada seluruh pasukan dan Oscar,” katanya.
Insiden itu bukan sahaja meranapkan peluang podium Norris, malah menyebabkan perlumbaan ditamatkan menggunakan kereta keselamatan dan McLaren bernasib baik apabila jentera Piastri tidak mengalami kerosakan serius dan berjaya bertahan hingga ke garisan penamat.
Kesan daripada insiden itu cukup besar apabila Piastri kini mengukuhkan kedudukan di tangga teratas kejuaraan dengan 198 mata, meninggalkan Norris di tempat kedua dengan 176 mata dan jurang 22 mata.
Dalam perlumbaan itu, George Russell (Mercedes) muncul juara selepas menguasai perlumbaan dari awal hingga akhir, manakala Max Verstappen (Red Bull) menamatkan saingan di tempat kedua dan rakan sepasukan Russell, Kimi Antonelli di tempat ketiga.
Verstappen kini menduduki tempat ketiga keseluruhan dengan 155 mata, diikuti Russell yang melonjak ke tangga keempat dengan 136 mata. – AGENSI