EU-Malaysia perkukuh kerjasama menjelang pelaksaan EUDR

6 hours ago 4

PUTRAJAYA – Kesatuan Eropah (EU) dan Malaysia memperkukuhkan kerjasama bagi memastikan pengusaha komoditi seperti sawit, getah, kayu dan koko negara ini bersedia mematuhi syarat berhubung isu kelestarian.

Ia susulan pelaksanaan Peraturan Deforestasi EU atau European Union Deforestation Regulation (EUDR) yang dijangka berkuat kuasa pada 30 Disember depan.

Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Seri Johari Abdul Ghani berkata, kerajaan telah membangunkan sistem berpusat nasional yang mengintegrasikan data pensijilan Pensijilan Minyak Sawit Mampan Malaysia (MSPO).

“Ini termasuk peta poligon serta pengesahan undang-undang bagi membantu pengeksport memenuhi syarat EUDR.

“Langkah ini bukan sahaja meningkatkan ketelusan rantaian bekalan, malah memberi keyakinan kepada pasaran Eropah bahawa komoditi Malaysia dihasilkan secara mampan,” katanya dalam kenyataan.

Beliau berkata demikian selepas mengadakan pertemuan bersama Pesuruhjaya Alam Sekitar, Daya Tahan Air dan Ekonomi Kitaran Berdaya Saing Eropah, Jessika Roswall di Pulau Carey, hari ini.

Sementara itu, Roswall menyifatkan MSPO sebagai sistem pengesanan digital bertaraf tinggi dan menzahirkan penghargaan terhadap usaha Malaysia menyelaraskannya dengan keperluan EUDR.

“Ia sekali gus memudahkan pengusaha EU memastikan bekalan minyak sawit dari Malaysia bebas daripada aktiviti pembalakan haram serta mematuhi undang-undang,” jelasnya.

Dalam lawatannya ke Malaysia, Roswall turut menawarkan penganjuran bengkel teknikal secara maya bagi memberi pendedahan mengenai peraturan EUDR kepada industri tempatan.

Projek khas juga bakal dilaksanakan bagi menyokong pekebun kecil membekalkan sawit dan getah secara telus ke pasaran EU.

Terdahulu, Roswall dan Johari meninjau inisiatif komuniti Orang Asli di Pulau Carey serta ladang milik SD Guthrie yang mempamerkan amalan pertanian regeneratif dan pengurusan rantaian bekalan yang telus. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |