LONDON – Bryan Mbeumo terus menjadi tumpuan apabila dua kelab gergasi Liga Perdana Inggeris, Manchester United dan Tottenham Hotspur, sedang bersaing sengit mendapatkan khidmat penyerang Brentford itu.
United dilapor masih tenang, walaupun Spurs menunjukkan keseriusan apabila sudah memulakan perbincangan awal untuk membawa Mbeumo ke London.
Bintang 25 tahun itu turut terbuka hati menyertai Spurs, lebih-lebih lagi apabila Thomas Frank, bekas pengurusnya di Brentford, dilantik sebagai pengurus baharu kelab London tersebut.
Bagaimanapun, Sky Sports mendedahkan Mbeumo masih lebih cenderung memilih Manchester United apabila diberi pilihan, sekali gus menjadi tamparan buat Spurs yang tengah mencari penyerang berbisa.
Skuad kendalian Ruben Amorim itu percaya mereka memiliki kelebihan untuk mendapatkan Mbeumo apabila menggunakan khidmat Andre Onana yang juga merupakan rakan senegara dalam pasukan Cameroon sebagai ‘ejen’ untuk memujuk pemain itu ke Old Trafford.
United dijangka kembali dengan tawaran lebih tinggi untuk Mbeumo selepas tawaran awal mereka bernilai sehingga £55 juta (RM313.31 juta) ditolak Brentford, selain sudah menyiapkan pelab B apabila turut menamakan Antoine Semenyo sebagai calon.
Brentford meletakkan nilai lebih £60 juta (RM343.07 juta) ke atas Mbeumo, yang masih mempunyai baki dua tahun kontrak, dan mendengar sebarang tawaran yang dianggap sesuai.
Musim lalu, Mbeumo cemerlang apabila menjaringkan 20 gol dan 7 umpanan jaringan, sekali gus menjadi nadi penting kejayaan Brentford menamatkan liga di kelompok 10 teratas.
Spurs juga percaya mereka berdepan tentangan sengit untuk mendapatkan Mbeumo dan turut menyiapkan rancangan alternatif dengan memburu khidmat penyerang Rennes, Arnaud Kalimuendo sekiranya gagal mendapatkan Mbeumo. – AGENSI