Oleh MUHAMMAD AFNAN FARIHIN SAMSURI
KUALA LUMPUR – Acara berbasikal malam paling ikonik di Malaysia, RHB LEKAS Highway Ride kini kembali untuk edisi ulang tahun ke-10 dengan pengalaman yang dijanjikan lebih meriah dan inklusif untuk semua peringkat umur dan keupayaan.
Bakal berlangsung pada Sabtu, 11 Oktober 2025, acara ini akan menyaksikan LEKAS E21 Highway ditutup sepenuhnya untuk menampung kapasiti penyertaan telah ditingkatkan sehingga lebih 7,000 peserta, susulan pengumuman tambahan slot penyertaan pada April lalu.
Sejak pertama kali dianjurkan pada tahun 2013, acara ini telah menjadi kemuncak dalam kalendar berbasikal negara dan mencatat dua rekod dalam Malaysia Book of Records 2024 iaitu “Penyertaan Terbesar dalam Perlumbaan Berbasikal Malam di Lebuhraya” dan “Perlumbaan Berbasikal Malam Terpanjang di Lebuhraya”.
Acara ini menawarkan beberapa kategori seperti 105 kilometer (km) cabaran prestasi untuk pelumba elit, 78km untuk kayuhan peserta berpengalaman, 17km untuk peserta 17 tahun ke atas dan 12km untuk remaja berusia 10 hingga 16 tahun.
Menariknya, seramai 23 peserta setia 18 dari Malaysia dan 5 dari Singapura telah menyertai setiap edisi sejak penganjuran pertama. Sebagai penghargaan terhadap kesetiaan mereka, setiap peserta akan menerima pas istimewa berupa penyertaan percuma untuk edisi tahun ini.
RHB turut menawarkan ganjaran eksklusif kepada pemegang kad mereka, termasuk diskaun sehingga 50 peratus bagi 50 pendaftaran pertama (terhad kepada RM100 setiap transaksi) dan 10 peratus untuk 500 pendaftaran seterusnya (terhad kepada RM20 setiap transaksi).
Penganjuran acara ini melalui kerjasama erat antara RHB Banking Group selaku penaja utama dan Lebuhraya Kajang-Seremban (LEKAS), anak syarikat IJM Corporation Berhad sebagai penaja lokasi.
Penaja lain termasuk Tokio Marine sebagai rakan rasmi insurans, Institut Jantung Negara (IJN) sebagai rakan rasmi perubatan, serta sokongan dari IJM Land, Dahua Technology dan lain-lain.
Di luar acara utama, pengunjung dan keluarga turut berpeluang menikmati suasana festival dengan persembahan kebudayaan, cabutan bertuah, gerai permainan, trak makanan, serta majlis penyampaian hadiah kepada pemenang. – KOSMO! ONLINE