Durakovic kembali ke kancah Liga Malaysia

11 hours ago 6

BEKAS jurulatih berpengalaman, Mehmed Durakovic kembali ke bumi Malaysia selepas lima tahun untuk membimbing pasukan Imigresen FC dalam saingan Liga Super musim 2026/2027.

Imigresen dalam kenyataan rasmi semalam mengumumkan pelantikan Durakovic untuk menggantikan posisi yang ditinggalkan oleh Yusri Che Lah selepas berpisah dengan pasukan pada musim lalu.

Menerusi kenyataan tersebut, The Mighty Tigers percaya pelantikan bekas legenda Selangor FC itu adalah bukti pasukan serius untuk mencabar kelompok atasan saingan domestik musim depan.

“Pelantikan ini mencerminkan kesungguhan dan komitmen kelab untuk terus berkembang, memperkukuhkan daya saing serta mengangkat pasukan ke tahap yang lebih tinggi. 

“Dengan pengalaman, kepakaran dan rekod yang dimiliki, pihak pengurusan yakin Durakovic mampu membawa dimensi baharu serta menyuntik semangat juang yang lebih kental dalam pasukan.

“Musim baharu membawa cabaran yang lebih besar, namun ia juga membuka ruang untuk mencipta lebih banyak kejayaan. Dengan semangat, disiplin dan tekad yang sama, Imigresen FC akan terus melangkah ke hadapan demi merealisasikan cita-cita dan aspirasi kelab,” kata kenyataan tersebut.

Sementara itu, pihak pengurusan juga mengucapkan terima kasih kepada Yusri yang berjaya bantu pasukan menamatkan saingan di kedudukan keenam Liga Super sebelum ini.

“Pihak kelab turut merakamkan penghargaan kepada Saudara Yusri Che Lah atas segala jasa dan komitmen beliau sepanjang bersama pasukan, serta mendoakan kejayaan berterusan dalam karier beliau.

“Kini tiba masanya untuk bersatu, berjuang dan melakar sejarah baharu. Perjalanan diteruskan, misi diperhebatkan.” katanya.

Sebagai rekod, kali terakhir Durakovic melatih kelab Liga Super adalah pada 2021 sewaktu menjadi jurulatih Perak FC.

Read Entire Article
Pertanian | | | |