Dua sahabat didakwa perkosa remaja, buat ‘projek’ dalam homestay

6 hours ago 3

MUAR – Dua rakan dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan melakukan persetubuhan di luar tabii terhadap remaja perempuan orang kelainan upaya (OKU) selepas diberi dadah, awal bulan ini.

Tertuduh, Mohamad Shah Zailan Fikri Abdullah, 25, mengaku bersalah manakala Mohamad Izuan Salleh, 34, tidak mengaku sebaik pertuduhan dikemukakan secara berasingan di hadapan Hakim Sayani Mohd Nor.

Shah Zailan Fikri yang juga pekerja kebun berhadapan dua pertuduhan iaitu meliwat serta persetubuhan bertentangan aturan tabii terhadap mangsa berusia 19 tahun di sebuah inap desa dalam daerah ini, antara pukul 2 hingga 4 pagi, 7 Jun lalu.

Kedua-dua kesalahan itu didakwa mengikut Seksyen 377B Kanun Keseksaan yang memperuntukkan penjara sehingga 20 tahun dan sebatan bagi setiap pertuduhan dikenakan terhadapnya.

Mohamad Izuan yang bekerja penjaga kedai dobi dituduh mengikut melakukan persetubuhan bertentangan aturan tabii dengan kesemua tarikh kejadian serta masa berlaku di tempat sama.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Othman Affan Ismail manakala kedua-dua tertuduh tidak diwakili peguam.

Susulan pengakuan bersalah dibuat tertuduh Shah Zailan Fikri, mahkamah menetapkan Jumaat ini untuk fakta dan hukuman manakala kes terhadap Mohamad Izuan disebut semula pada 22 Julai ini untuk serahan dokumen dan lantikan peguam.

Mahkamah membenarkan Mohamad Izuan diikat jamin RM10,000 serta mengenakan syarat tambahan iaitu perlu melapor diri di balai polis berhampiran sebulan sekali dan tidak boleh mengganggu saksi pendakwaan terutama mangsa sehingga kes selesai.

Sementara itu, di Mahkamah Majistret, Mohamad Izuan dituduh memiliki dadah methampethamin seberat 0.44 gram (g) di sebuah rumah di Parit Jawa di sini, 9 pagi, 9 Jun lalu.

Namun, tertuduh mengaku tidak bersalah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 12 (2) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan kes disebut semula pada 19 September ini untuk laporan patologi serta dibenarkan ikat jamin RM2,000.

Tertuduh kemudian membayar kedua-dua ikat jamin dikenakan terhadapnya.-KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |