Dua malam habis ‘abang besar’ libas dua hektar ladang

7 hours ago 4

KOTA TINGGI – Belum sempat meraih hasil pertama, lebih 6,000 pokok kelapa milik usahawan dan Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) Pengerang di Zon Pengeluaran Makanan (ZPM) Sedili Kechil di sini musnah dalam tempoh sembilan bulan selepas diserang kumpulan gajah liar sejak Oktober tahun lalu.

Pengurus Besar PPK Pengerang, Mohamad Azhar Din berkata, serangan yang berlarutan sehingga kini menyebabkan anggaran kerugian mencecah RM1.8 juta melibatkan kos pembangunan, infrastruktur dan pe­ngurusan, namun tidak termasuk nilai hasil yang sepatutnya dijana dalam tempoh jangka panjang.

Katanya, sebanyak 35 hektar tanah dalam kawasan ZPM itu telah terjejas melibatkan 6,171 batang pokok kelapa pelbagai varieti berusia antara satu hingga sembilan tahun.

Menurutnya, tanah berkenaan diusahakan oleh 32 usahawan dan enam pertubuhan peladang dan di kawasan yang terjejas, terdapat 13 lot melibatkan lapan pemilik iaitu lima usahawan dan tiga pertubuhan termasuk PPK sendiri.

“Kumpulan gajah dipercayai bergerak dalam kelompok kecil antara tiga hingga lima ekor, dan kebiasaan menyerang pada waktu tengah malam hingga subuh.

“Terbaru serangan berlaku pada Isnin dan Selasa lalu yang menjejaskan kira-kira 380 pokok dengan anggaran kerugian sekitar RM90,000.

“Pokok-pokok berkenaan baru ditanam penghujung 2023 dan dijangka mengeluarkan hasil tahun depan,” katanya ketika ditemui di pejabat PPK Pengerang, Bandar Penawar di sini.

Mohamad Azhar berkata, pihaknya sudah membuat pelbagai langkah kawalan termasuk membina pagar, parit dan rondaan seperti disyorkan pihak jabatan perhilitan.

“Jika serangan terus berlaku, hasrat kerajaan negeri untuk memperluas tanaman kelapa bagi me­ngukuhkan sektor agromakanan Johor berisiko tidak tercapai.

“Untuk rekod, kawasan ini tiada sejarah serangan gajah sebelum projek kelapa ini dilaksanakan. Sebelum ini hanya babi, tikus, monyet dan itu boleh dikawal.

“Dua malam saja dah habis dua hektar dikerjakan gajah. Kalau tiap bulan ada serangan, tak mustahil habis semua,” katanya lagi.

Read Entire Article
Pertanian | | | |