JASIN – Dua lelaki parah termasuk mengalami pendarahan dalam otak selepas dipercayai terbabit dalam pergaduhan membabitkan dua kumpulan di tepi jalan berhampiran perhentian bas, Jalan Gapam, Bemban, di sini awal pagi tadi.
Dalam kejadian pada pukul 12.10 tengah malam itu, mangsa berusia 21 dan 28 tahun masing-masing mengalami bengkak di kepala, retak tengkorak serta patah tengkuk dan pendarahan dalam otak, selain kecederaan parah pada anggota badan.
Ketua Polis Daerah Jasin, Superintendan Lee Robert berkata, siasatan awal mendapati kejadian tersebut dipercayai berpunca daripada rasa cemburu melibatkan seorang wanita dikenali sebagai ‘Rina’.
“Kejadian berlaku sekitar jam 12.10 tengah malam apabila beberapa lelaki tidak dikenali memanggil seorang pemuda berusia 19 tahun untuk memulangkan beg tangan milik Rina sebelum dia ditampar oleh salah seorang suspek.
“Abang pemuda tersebut kemudian datang bagi membantu, namun berlaku pergaduhan antara dua kumpulan menggunakan tangan dan objek dipercayai kayu,” katanya kepada pemberita di sini hari ini.
Mengulas lanjut beliau berkata, pemuda berkenaan merupakan operator kilang, manakala dua lelaki yang parah masing-masing penganggur dan pemandu lori.
“Kes ini telah dilaporkan oleh bapa kepada mangsa berusia 21 tahun yang memaklumkan anaknya dipukul sehingga dimasukkan ke Zon Merah Hospital Melaka dan masih dalam keadaan tidak sedarkan diri.
“Kita percaya kejadian ini membabitkan enam individu dan setakat ini dua suspek telah ditahan, manakala selebihnya sedang dikesan,” ujarnya.
Katanya, rakaman televisyen litar tertutup (CCTV) di lokasi berhampiran turut merakamkan kelibat beberapa lelaki bergaduh, dan pasukan Forensik Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Melaka telah ke lokasi bagi mengambil sampel darah di permukaan jalan.
Beliau berkata, siasatan dijalankan mengikut Seksyen 326 dan 148 Kanun Keseksaan.-KOSMO! ONLINE.

5 hours ago
6















































