Dua lelaki dicekup seludup 120 tin, 312 botol arak untuk majlis perkahwinan

6 hours ago 4

RANTAU PANJANG – Hasrat dua lelaki untuk menyediakan bekalan minuman keras seludup sempena majlis perkahwinan ahli keluarga pada minggu depan tidak kesampaian apabila mereka dicekup di sekatan jalan raya (SJR) Cabang Empat Salam di sini semalam.

Kedua-dua lelaki berusia 33 dan 24 tahun yang menaiki trak pikap jenis Toyota Hilux itu ditahan anggota Pasukan Gerakan Am (PGA ketika menjalankan Op Taring Wawasan Kelantan di SJR berkenaan.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisioner Ahmad Radzi Hussain berkata, pemeriksaan terhadap tubuh badan kedua-dua lelaki itu pada awalnya tidak menjumpai barangan yang menyalahi undang-undang.

Katanya, pemeriksaan lanjut di bahagian tempat duduk belakang kenderaan itu kemudian menemukan pelbagai jenis minuman keras yang dipercayai diseludup dari Thailand.

“Siasatan mendapati, trak pikap itu membawa sebanyak 120 tin minuman keras berjenama popular dari Thailand dan 312 botol arak pelbagai jenama yang bernilai RM3,500.

“Kedua-dua suspek mengaku bekalan arak tersebut dibeli di Thailand sebelum diseludup melalui pangkalan haram di sekitar Kampung Kedap di sini,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, mereka turut memaklumkan minuman keras itu bukan untuk dijual, tetapi akan dihidang sempena majlis perkahwinan yang berlangsung di Kampung Chabang Empat, Wakaf Bharu dekat Tumpat pada minggu depan.

Menurutnya, kedua-dua lelaki yang berasal dari Tumpat itu mendakwa ini merupakan kali pertama mereka mengambil bekalan arak di Rantau Panjang.

“Siasatan lanjut mendapati, harga arak yang rendah di pasaran Thailand mendorong mereka membeli minuman keras melalui pangkalan haram.

“Suspek turut memaklumkan, harga sekotak arak di Thailand hanya 700 baht atau RM87 berbanding RM200 untuk kuantiti sama bagi pasaran gelap di negara ini,” ujarnya-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |