PETALING JAYA – Tindakan dua pemandu bas yang tular di media sosial kerana memandu secara berbahaya dan laju mengundang padah apabila telah dikenakan tindakan saman oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ).
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Aedy Fadly Ramli berkata, kedua-dua kejadian tersebut dikesan berlaku di Lebuh Raya Utara Selatan berdekatan kawasan rehat dan rawat (R&R) Kulai dan sekitar Mersing di Johor.
Jelas beliau, pihaknya telah menjalankan siasatan ke atas kedua-dua kenderaan yang terlibat dan telah mengeluarkan notis saman (Notis JPJ P22) serta tindakan di bawah Akta Pengangkutan Jalan 1987.
“Bagi kes pertama melibatkan syarikat bas ekspres, notis saman dikeluarkan kerana Memotong dan Mendatangkan Bahaya (Kaedah 6, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1956) serta Memandu Dilorong
Kecemasan (Kaedah 53, Kaedah-Kaedah Lalu Lintas Jalan 1956).
“Manakala, bagi bas kedua pula, pemandu dan pemilik kenderaan dikenakan Notis Temu Siasat (114) bagi tindakan lanjut berhubung kesalahan yang dilakukan di sekitar Mersing,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Mengulas lanjut, Aedy Fadly berkata, pihaknya tidak akan berkompromi dengan mana-mana kenderaan yang melanggar peraturan dan akan mengambil tindakan tegas terhadap individu atau pihak yang terlibat.
Pada masa sama katanya, pihak syarikat juga dinasihatkan untuk memantau etika pemanduan para pemandu kenderaan masing-masing bagi memastikan tahap pematuhan terhadap peraturan yang ditetapkan.
“Pihak JPJ ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada orang awam yang telah melaporkan aduan berkaitan keselamatan jalan raya.
“Pengguna jalan raya diseru untuk terus melaporkan aduan berkaitan kesalahan lalu lintas secara terus atau real time menggunakan Aplikasi MyJPJ: e-Aduan@JPJ atau emel [email protected] beserta dengan butiran lengkap aduan,” katanya.
Terdahulu, media melaporkan tular rakaman video memaparkan aksi berbahaya seorang pemandu bas ekspres yang memandu secara berbahaya dan melalu di sebuah lebuh raya utama.
Berdasarkan klip video terbabit, bas ekspres itu dipandu laju di laluan kecemasan bagi memintas beberapa buah kenderaan yang berada di lorong kiri.
Bas tersebut kemudiannya menghimpit kenderaan di laluan kanan selepas berjaya memotong beberapa kenderaan di sebelah kiri lebuh raya terbabit.
Tindakan pemandu bas tersebut juga nyaris menyebabkan kemalangan dengan kenderaan di laluan kanan lebuh raya tersebut.-KOSMO! ONLINE