‘Digelar pemarah, saya anak perempuan yang mengelap air matanya sendiri’

7 hours ago 6

PETALING JAYA – Luka terus berdarah, pelakon Nabila Huda menzahirkan luahan hati seorang anak yang hanya memendam perasaan dalam menjalani kehidupan seperti biasa.

Nabila atau nama lengkapnya Nabila Huda Suhaimi berkata sepanjang tempoh ini dia cuma menelan segala keperitan dan air mata agar kesengsaraan dilalui tidak disedari sesiapa.

“Mereka gelar saya ‘anak perempuan yang pemarah’ tetapi saya juga anak perempuan yang terpaksa mengelap air matanya sendiri dan meneruskan hidup seperti semuanya baik-baik sahaja.

“Saya adalah anak perempuan yang tak bercerita tentang apa yang saya lalui kerana enggan orang lain risau. Saya berdiam dan pendam perasaan supaya tiada yang nampak saya sedang bergelut.

“Saya seorang anak perempuan yang kena tampil kuat, orang yang perlu menyelesaikan semua perkara sendirian sehingga saya terlupa untuk meminta bantuan,” katanya menerusi hantaran di Instagram.

Dalam perkongsian lain, aktres versatil berusia 40 tahun itu turut memuat naik petikan yang menggambarkan kekecewaan apabila dilayan secara tidak adil namun dipersalahkan apabila bersuara.

Katanya, tiada seorang pun meminta maaf atas perbuatan mereka terhadapnya, sebaliknya hanya menyalahkan dirinya kerana menunjukkan respons terhadap apa yang berlaku.

“Saya tak pernah sembuh. Saya hanya memaksa diri saya untuk melupakan segala yang berlaku.

“Tiada siapa pun meminta maaf atas layanan mereka terhadap saya, mereka cuma menyalahkan saya kerana reaksi yang diberikan.

Antara luahan lain adalah berkenaan dirinya sebagai individu yang terluka, namun dia menegaskan tidak akan sesekali menyakiti atau melukai orang lain seperti mana dirinya disakiti.

Sementara itu, walau tidak memperinci maksud di setiap petikan, hantaran anak sulung kepada penyanyi rock Datuk Amy itu tersebut dibanjiri kata-kata sokongan daripada rakan artis serta pengikut setia yang mendoakan kesejahteraannya.

“Kehidupan memang sentiasa tidak akan pernah adil untuk orang yang baik tapi kamu tetap pilih jadi seorang yang baik,” tulis netizen.

“Walau apa pun yang terjadi, kamu tetap anak yang hebat dan masih dilimpahi dengan kasih sayang,” tulis peminat lain.

Terdahulu, didakwa berlaku kembali kemelut dalaman membabitkan keluarganya yang menjadi bahan bualan di laman sosial. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |