Denda maksimum RM3,000 pun pesalah senyum

11 hours ago 6

IPOH – Kerajaan Perak sedang menggubal Rang Undang-Undang (RUU) kesalahan jenayah syariah baharu bagi menggantikan Enakmen Jenayah Syariah 1992 yang disifatkan tidak lagi relevan dengan keperluan semasa.

Pengarah Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk), Datuk Harith Fadzilah Abdul Halim berkata, kertas kerja bagi RUU baharu itu akan dibentangkan dalam persidangan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) pada 26 Jun ini untuk diteliti semula.

“Kita telah pun mengadap Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah dan akan membawa kertas kerja itu ke persidangan MAIPK untuk melihat semula undang-undang yang telah berkuat kuasa sejak 1992. Enakmen Jenayah Syariah 1992 ini sudah lama, berpuluh tahun.

“Bukan kata tidak sesuai cuma peruntukan undang-undang di dalamnya tidak lagi relevan. Sebagai contoh, denda maksimum RM3,000, orang bayar pun senyum sahaja. Tambah lagi kes-kes berkaitan akidah, biarlah hukuman setimpal dengan kesalahan yang dilakukan,” katanya selepas merasmikan Program Latihan Sukarelawan Masjid Daerah Kinta anjuran Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM) di Dewan Saidina Omar, Institut Tadbiran Islam di sini hari ini.

Mengulas lanjut beliau berkata, penggubalan RUU baharu itu bukan bertujuan memberatkan hukuman, sebaliknya memastikan hukuman yang dikenakan setimpal dengan kesalahan dilakukan.

Dalam pada itu beliau berkata, semakan bukan hanya melibatkan Enakmen Jenayah Syariah, malah turut merangkumi beberapa enakmen lain yang berkaitan.

“Baru-baru ini Enakmen Kawalan Sekolah-Sekolah Agama Islam Negeri Perak telah diluluskan oleh Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak dan kini kita memberi tumpuan kepada enakmen berkaitan kesalahan syariah. Selain itu, satu enakmen baharu mengenai tasawuf dan tarekat juga sedang dibangunkan oleh Jabatan Mufti bagi mengawal selia pihak yang mengendalikan tarekat di negeri ini,” katanya.

Tambah beliau, jika proses berjalan lancar, enakmen berkaitan tasawuf dan tarekat itu dijangka dapat diwujudkan sama ada pada tahun ini atau tahun hadapan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |