PONTIAN – Seorang lelaki bimbang dengan nasib keluarganya selepas tidak dapat bekerja apabila disahkan menghidap kanser tulang selepas mendapatkan rawatan di Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru dekat sini Mei lalu.
Mohamad Khairul Nizam Ahmad, 38, berkata, penyakitnya mula dikesan berikutan berat badannya turun mendadak dari 67 kilogram (kg) kepada 48 kg serta tulang belakang bernanah selain jangkitan kuman.
Katanya, pada ketika itu dunia bagaikan gelap dan dia seakan putus harapan setelah kehilangan punca pendapatan sebagai pemandu jentera penggali.
“Saya bekerja secara harian, pergi kerja ada gaji. Sebulan boleh dapat RM1,400 sebulan.
“Selepas disahkan hidap kanser tulang, saya tidak dapat berjalan seperti biasa, kalau dalam rumah kena pakai tongkat. Sekarang tidak boleh kerja, saya hilang punca pendapatan,”katanya ketika ditemui di rumahnya di Jalan Sungai Burung, Pekan Nanas di sini baru-baru ini.
Mohamad Khairul kini buntu memikirkan nasib yang bakal dihadapi isteri, Masitah Kamsani, 33, dan empat anak mereka berusia tiga hingga 10 tahun.
Katanya, isteri tidak dapat membantunya untuk mencari rezeki memandangkan perlu menjaganya serta menguruskan persekolahan anak-anak.
Ujarnya, dia kini dalam proses memohon bantuan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).
Tambahnya, rumah yang didiami merupakan rumah sewa dengan kadar bayaran sebanyak RM470.00 sebulan.
“Makan minum anak isteri kami secara ala kadar, mana yang ada itulah kami makan, duit simpanan pun semakin hari semakin ‘kering’,” katanya.
Katanya, setakat ini mereka sekeluarga menerima sumbangan bakul makanan serta kerusi roda dan katil daripada Biro Kebajikan UMNO Bahagian Tanjung Piai.
“Saya bercadang untuk ke Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memohon bantuan khusus untuk anak-anak kerana mereka memerlukan perbelanjaan harian ke sekolah,” ujarnya.
Orang ramai yang bersimpati dengan keluarga ini boleh menghubungi Mohamad Khairul Nizam Ahmad ditalian 017-793 7954 atau datang ke rumahnya di No 9, Lot 12567, Jalan Sungai Burung, Pekan Nanas.
Mereka juga boleh menyalurkan sumbangan ke akaun Hong Leong Bank (28051024532).