PETALING JAYA – Tindakan empat lelaki tempatan memandu sebuah Honda Odyssey dalam keadaan mencurigakan di Kota Damansara, di sini awal pagi tadi membawa kepada penahanan mereka bersama pelbagai peralatan dipercayai digunakan untuk kegiatan pecah rumah.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Shamsudin Mamat berkata, pihaknya menerima laporan berhubung kejadian itu kira-kira pukul 2.23 pagi tadi.
“Semasa pemeriksaan dijalankan, suspek telah memandu secara agresif dan berbahaya sehingga berlaku insiden kejar-mengejar sebelum berjaya ditahan di Jalan Air Jernih, Air Panas, Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Menurut beliau, hasil pemeriksaan ke atas kenderaan itu membawa kepada penahanan empat lelaki tempatan berusia lingkungan 30-an.
Katanya, polis turut merampas pelbagai peralatan yang dipercayai digunakan untuk kegiatan jenayah curi termasuk parang, pahat, playar, pemutar skru dan besi kuku kambing.
“Siasatan lanjut mendapati suspek pertama mempunyai 16 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki, suspek kedua mempunyai 19 rekod lampau serta dua rekod dikehendaki.
“Suspek ketiga pula mempunyai 15 rekod lampau dan dua rekod dikehendaki manakala suspek keempat mempunyai 16 rekod lampau tanpa sebarang rekod dikehendaki,” ujarnya.
Tambah beliau, kesemua suspek direman selama dua hari sehingga esok bagi membantu siasatan.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 28(i)(ii) Akta Kesalahan Kecil 1955, Seksyen 29(1) akta sama serta Seksyen 6(1) Akta Bahan-Bahan Kakisan dan Letupan dan Senjata Berbahaya 1958,” katanya.
Beliau berkata, siasatan lanjut masih diteruskan dan kertas siasatan akan dirujuk kepada timbalan pendakwa raya untuk tindakan selanjutnya.
Sehubungan itu, orang ramai yang mempunyai maklumat berkaitan kejadian diminta tampil membantu siasatan dengan menghubungi Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya atau Bilik Gerakan IPD Petaling Jaya di talian 03-79662222. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
7







![[VIDEO] Pemandu e-hailing ‘campak’ pelanggan tepi jalan pagi Aidiladha](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-13.56.27.jpeg)




![[VIDEO] Penumpang tampar isteri ketika pertikai bayaran tambang RM7](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-10.12.59.jpeg)


































