Cendol durian premium tarikan unik di gerai Nor Hasniza

5 hours ago 2

BAGAN SERAI – Seorang usahawan  tidak menyangka percubaannya mengubahsuai menu cendol biasa kepada cendol berisi durian bergred premium membuahkan hasil apabila gerainya di Kampung Matang Merbau kini jadi tumpuan peminat makanan bukan sahaja di kawasan Utara tetapi dari seluruh negara.

Sekali gus, inisiatif Nor Hasniza Hassan, 38, yang telah lama berkecimpung dalam bidang tersebut berjaya merekodkan jualan bulanan yang memberangsangkan .

Ibu kepada empat orang anak itu berkata, sebelum ini jualan hariannya adalah pulut durian dan serawa tetapi memberanikan diri untuk mempelbagaikan menu unik itu kepada tawaran cendol durian premium yang menggunakan pelbagai variasi durian musang king, udang merah, holo, lipan, D14 dan 604.

“Tak sangka cerita mengenai kesedapan cendol durian premium yang mula ditawarkan tahun ini telah tersebar dalam kalangan penduduk dan pelanggan yang singgah di gerai ini.

“Setiap mangkuk dimuatkan dua hingga tiga ulas isi durian bersama cendol, pulut dan ais krim, pelanggan juga diberi pilihan sama ada cendol biasa yang dijual pada harga RM6 manakala cendol durian premium dijual pada harga RM15,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.

Nor Hasniza menerangkan, gerainya yang hanya beroperasi tiga hari seminggu sahaja bermula Jumaat hingga Ahad bermula pukul 12 tengahari hingga 12 tengah malam itu turut menjual lebih daripada 10 jenis durian segar termasuk musang king dan udang merah dari Balik Pulau, Pulau Pinang.

Sementara itu, seorang peminat durian dari Rawang, Selangor, Nurul Aini Mat Yasin, 35, berkata, dia dan suaminya mengunjungi gerai cendol tersebut kerana mahu mencuba sesuatu yang unik di gerai Nor Hasniza.

“Saya menemani suami ke Pulau Pinang atas urusan kerja dan di sana kami mendapat tahu mengenai kewujudan gerai ini. Jadi dalam perjalanan pulang ke rumah kami singgah ke sini dulu, ternyata usaha kami berbaloi, cendol ini sungguh menyelerakan,”ujarnya. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |