Campak bayi dari tingkat 10, ibu kandung didakwa esok

3 hours ago 3

JOHOR BAHRU – Seorang wanita tempatan berusia 22 tahun yang dipercayai mencampakkan bayi perempuan yang baru dilahirkannya dari tingkat 10 sebuah flat di bandar raya ini akan didakwa di Mahkamah Sesyen Johor Bahru esok.

Pemangku Ketua Polis Johor, Deputi Komisioner Hoo Chuan Huat berkata, suspek ditahan polis pada pukul 12 tengah hari tadi di pekarangan Hospital Sultanah Aminah (HSA), Johor Bahru hasil siasatan yang dijalankan.

Menurut beliau, polis sebelum itu menerima laporan mengenai penemuan mayat seorang bayi perempuan yang dipercayai baru dilahirkan di kawasan parkir kenderaan sebuah flat di Johor Bahru pada pukul 2.40 petang, 2 Mei lalu.

“Hasil siasatan awal mendapati bayi perempuan tersebut telah dicampakkan dari tingkat 10 bangunan berkenaan sehingga menyebabkan kematiannya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Chuan Huat berkata, kertas siasatan pada peringkat awal dibuka mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan dan dikendalikan oleh pegawai penyiasat, Asisten Superintendan Mohd Syahir Mohamad Nasir.

Bagaimanapun, hasil siasatan lanjut termasuk rakaman percakapan saksi serta penelitian terhadap keterangan yang diperoleh membawa kepada penahanan ibu kandung bayi berkenaan.

“Suspek ditahan berdasarkan keterangan yang ada bahawa dia telah membuang bayi yang masih bernyawa dari tingkat 10 sehingga mengakibatkan kematian,” ujarnya.

Semakan rekod jenayah mendapati wanita terbabit tidak mempunyai sebarang rekod kesalahan jenayah lampau.

Menurut Chuan Huat, kertas siasatan telah dirujuk kepada Pejabat Pengarah Pendakwaan Negeri Johor yang kemudian mengarahkan pertuduhan dibuat mengikut Seksyen 304(a) Kanun Keseksaan kerana menyebabkan kematian tanpa niat membunuh.

“Jika disabitkan kesalahan, suspek boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 30 tahun dan juga denda. Orang ramai dinasihatkan agar tidak membuat spekulasi atau menyebarkan maklumat tidak sahih berhubung kes ini,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |