Cadang tambah bonggol di laluan menurun Genting Highlands

3 hours ago 3

PETALING JAYA – Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Tiong King Sing mencadangkan agar pihak berkaitan mengkaji untuk menambah kemudahan pengurang kelajuan termasuk bonggol jalan atau langkah penenang lalu lintas yang berkesan di laluan berisiko tinggi di Genting Highlands.

Beliau berkata, cadangan penambahan bonggol jalan itu khususnya di laluan menurun Genting Highlands dan ia hasil maklum balas pengguna jalan raya mengenai risiko kawasan tersebut.

“Perhatian khusus perlu diberikan di kawasan kritikal pada laluan keluar masuk utama Genting Highlands bagi mengurangkan kelajuan kenderaan dan mengurangkan risiko kemalangan,” katanya dalam kenyataan semalam.

Cadangan itu susulan kejadian kemalangan bas persiaran pada 30 Mei melibatkan sebuah bas persiaran yang hilang kawalan dan melanggar Perodua Aruz sebelum melanggar sebuah lagi bas persiaran di Kilometer 15 Jalan Genting Highlands-Genting Sempah.

King Sing berkata, Jabatan Pengangkitan Jalan (JPJ) sebelum ini pernah mencadangkan pemasangan kemudahan perangkap laju di laluan tersebut bagi meningkatkan penguatkuasaan dan pemantauan risiko.

Menurutnya, bagaimanapun, jalan itu merupakan jalan persendirian, justeru cadangan tersebut masih belum mendapat kelulusan untuk dilaksanakan sehingga kini.

“Buat masa ini, laluan tersebut hanya dilengkapi dengan beberapa sistem televisyen litar tertutup (CCTV). Oleh itu, terdapat keperluan mendesak untuk menyemak semula dan menyegerakan pelaksanaan lebih banyak langkah pemantauan berteknologi bagi meningkatkan tahap pengurusan keselamatan jalan raya.

“Langkah-langkah keselamatan tidak boleh hanya diambil selepas kemalangan terjadi. Kita mesti bertindak dari sudut pencegahan dan meminimumkan risiko sehabis baik,” katanya.

Beliau berkata, walaupun laluan tersebut diklasifikasikan sebagai hak milik dan pengurusan persendirian, ia secara langsung melibatkan nyawa pelancong dan pengguna jalan raya awam.

Justeru, King Sing berharap pihak pengurusan dapat bekerjasama secara aktif dengan pihak kerajaan dan penguat kuasa atas semangat kepentingan awam serta tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam melaksanakan penambahbaikan keselamatan yang dicadangkan.

“Pemantauan berteknologi tinggi bukan bertujuan untuk menambah beban, tetapi untuk melindungi nyawa. Sebarang langkah yang dapat memperkukuh kawal selia dan meningkatkan tahap keselamatan jalan raya perlu disegerakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |