KUALA LUMPUR – Seorang penganggur yang mengaku bersalah membunuh ibu dan bapanya dalam kejadian tragis di Kampung Sungai Penchala dua tahun lalu dihukum penjara maksimum 40 tahun dan 24 sebatan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini.
Hakim K.Muniandy menjatuhkan hukuman itu selepas mengambil mendengar dan meneliti fakta kes, status kesihatan serta pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh Afendi Muhammad Agus@Muhamed Ali, 44, sebelum ini adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan
Timbalan Pendakwa Raya Izalina Abdullah manakala peguam Mohd. Ruzaini Zulkifli yang mewakili Afendi.
Terdahulu pada November tahun lalu, Mahkamah Tinggi di sini memerintahkan supaya Afendi menjalani pemeriksaan mental.
Hakim Muniandy menetapkan perkara itu terhadap Afendi bagi memastikan pengakuan bersalah yang dibuat tertuduh pada 6 September tahun lalu itu adalah dalam keadaan waras serta sukarela.
Sejurus selepas menjalani ujian psikiatri Afendi telah disahkan berada dalam keadaan mental yang waras ketika kejadian seperti yang dinyatakan dalam pertuduhan yang mana laporan perubatan itu dikeluarkan 7 Februari lalu oleh Pakar Psikiatri (Forensik), Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak.
Pihak pendakwaan turut memaklumkan semasa kejadian Afendi berada dalam keadaan mental yang waras dan sedar akan sifat dan akibat pengakuan perbuatannya serta mampu mengetahui tindakan itu salah di sisi undang-undang.
Pada sama sama, keadaan mentalnya juga adalah stabil dan layak dihadapkan ke mahkamah untuk dibicarakan serta mampu membela diri.
Mengikut pertuduhan pertama dan kedua tertuduh didakwa membunuh bapanya Muhammad Agus@Muhamed Ali Omar, 82, dan ibunya Darlisma Njatu Saleh, 72.
Kesalahan itu didakwa di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, Jalan Penchala Hilir 6 di sini masing-masing pukul 7.10 malam dan 7.20 malam pada 9 Disember 2023.
Justeru pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Hukuman bagi seksyen itu memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.
Pada 9 Disember 2023 Kosmo! melaporkan jeritan minta tolong seorang wanita yang didengari jirannya merungkaikan penemuan pasangan warga emas mati dibunuh di sebuah rumah di Kampung Sungai Penchala, di sini.
Menurut jiran, jeritan itu dipercayai daripada wanita yang dibunuh anak lelakinya berusia 40-an kira-kira pukul 7 malam.
Pasangan yang dibunuh itu merupakan keluarga yang dikenali ramai penduduk di sini sekali gus menimbulkan suasana suram dalam kalangan penduduk.
Sejurus selepas kejadian, suspek yang melarikan diri kemudian berjaya diberkas polis dan ditahan ketika bersembunyi di terowong Penchala di Lebuhraya Sistem Penyuraian Trafik Kuala Lumpur (Sprint), di sini. – KOSMO! ONLINE