MELAKA – Kementerian Kesihatan (KKM) menegaskan tiada penutupan perkhidmatan di Hospital Segamat, namun konsep pengurusan krisis berasaskan kluster telah diaktifkan susulan peningkatan mendadak jumlah pesakit dan kekangan tenaga kerja.
Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, melalui mekanisme itu, pesakit luar akan dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran termasuk klinik kesihatan dan hospital dalam rangkaian kluster, manakala pesakit dalam wad terus menerima rawatan seperti biasa di hospital berkenaan.
“Tidak ada penutupan perkhidmatan di Hospital Segamat. Apa yang berlaku ialah pengaktifan konsep pengurusan krisis berasaskan kluster apabila berlaku tekanan dan lonjakan kes.
“Pesakit dalam wad terus dirawat seperti biasa, manakala pesakit luar dirujuk ke fasiliti kesihatan berhampiran bagi menguruskan aliran pesakit,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan Majlis Perasmian Penutupan Sambutan Bulan Pemakanan Malaysia Peringkat KKM 2026 di pusat beli-belah Aeon Bandaraya, di sini, hari ini.
Menurutnya, langkah tersebut bertujuan memastikan kelangsungan perkhidmatan dan mengelakkan kesesakan di sesebuah fasiliti kesihatan ketika berlaku peningkatan permintaan rawatan.
Ditanya mengenai situasi di pusat perubatan lain di seluruh negara, beliau menjelaskan bahawa tekanan perkhidmatan tidak berlaku secara menyeluruh, namun isu kekurangan tenaga kerja adalah cabaran sistemik yang telah lama wujud.
“Semua sedia maklum kita sedang berperang dengan kekangan sumber manusia bukan sahaja pakar, doktor, dan jururawat. Kami sedang giat menangani perkara ini kerana tidak ada solusi yang cepat atau jangka masa pendek.
“Pendekatan itu telah dirancang dengan baik dan sekarang ini kita sedang melaksanakannya membabitkan kerjasama pelbagai pihak termasuk Jabatan Perkhidmatan Awam, Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Kewangan,” katanya.
Semalam Kosmo! melaporkan Jabatan Kesihatan Negeri Johor (JKNJ) menafikan dakwaan tular di media sosial yang mendakwa Hospital Segamat di sini akan ditutup mulai 1 Julai ini.
Pengarah Kesihatan Johor, Dr. Mohd. Mokhtar Pungut@Ahmad berkata, hospital berkenaan masih beroperasi seperti biasa dan tiada sebarang keputusan untuk menutup fasiliti kesihatan tersebut.
Menurut beliau, pihaknya mengambil maklum penyebaran maklumat berkaitan surat penangguhan rujukan kes-kes Obstetrik dan Ginekologi (O&G) dari daerah Rompin dan Gemas yang bertarikh 3 Jun lalu sehingga mencetuskan kekeliruan dalam kalangan masyarakat. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
5















![[VIDEO] MB Negeri Sembilan umum bubar DUN berkuat kuasa 5 Jun](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/WhatsApp-Image-2026-06-04-at-23.44.18.jpeg)





























