DALAM industri perfileman Malaysia yang semakin selesa berselindung di sebalik formula selamat dan kutipan pecah panggung, Aziz M. Osman muncul sebagai anomali yang enggan jinak dan menyerah.
Ketika ramai memilih akur pada selera pasaran, beliau kekal percaya filem bukan sekadar hiburan segera, tetapi medan pergelutan idea, sikap dan keberanian. Lebih empat dekad berada di barisan depan, Aziz membesar dalam era kekurangan, zaman kru melakukan segala-galanya demi memastikan filem tetap hidup.
Kekurangan itu yang membentuknya pembikin filem yang berfikir, menyindir dan berani menyimpang arus. Prinsipnya jelas dan tidak berubah, hasilkan filem ingin ditonton sendiri, bukan filem dipaksa laku di pasaran.
Dalam wawancara dengan wartawan Kosmo! Ahad, Rasdan Ahmad, Aziz membuka sisi industri jarang diperkatakan tentang profesionalisme semakin kemas tetapi membunuh keorganikan, kreativiti dikurung oleh template serta generasi penonton baharu diburu faktor ‘wow’ hingga filem bertukar jadi ‘taman tema’ yang bukan sekadar hiburan, tetapi menguji keupayaan untuk berfikir.
KOSMO! AHAD: Sebagai teraju utama yang melalui beberapa era perfileman, bagaimana melihat hala tuju dan masa depan industri filem Malaysia dalam lima hingga 10 tahun akan datang?
AZIZ: Sebelum kita pergi ke 10 tahun akan datang, saya ingin menyorot kembali 10 hingga 20 tahun lepas.
Ketika itu, pengamal industri kebanyakannya terpaksa bertahan dengan kaedah dan struktur kerja yang serba kekurangan, baik dari segi kewangan mahupun teknikal.
Kami terpaksa berpegang pada dialog Tan Sri P. Ramlee dalam Seniman Bujang Lapok, “Tak boleh pun, bikinlah sampai boleh…”
Dengan kondisi kekurangan ini, kebanyakan daripada kami terpaksa menjadi problem solver dan multi-tasker. Positifnya, antara kami bekerja secara kekeluargaan dan tidak pernah berkira.
Hari ini, saya melihat prosedur operasi standard (SOP) pembikinan filem dan drama sudah diselaraskan. Gerak kerja kelihatan lebih profesional dan kemas.
Satu orang satu tugas, maka tanggungjawab lebih fokus dan efisien. Jika ada kelemahan, ia boleh dikenal pasti dan diatasi segera. Ini baik untuk profesionalisme dan membolehkan kita mengiktiraf perfileman sebagai sebuah industri.
Namun setbacknya, gerak kerja kini terlalu terikat dengan template yang dipaksa akur, sedangkan karya kreatif perlu bersifat organik dan bebas. Kita akan kehilangan kepelbagaian dan ‘warna’.
Hari ini kita sudah boleh jangka filem dan drama jenis apa yang dianggap layak ditonton umum. Karya ‘di luar kotak’ semakin tidak difahami dan diterima.
Petugas filem juga tidak lagi dibenarkan ‘tumbuh’ atau mengusik ruang kerja orang lain.
Saya tidak kata ini sepenuhnya buruk, tetapi sistem kekeluargaan kru filem dulu sudah tidak wujud yang kru filem dibenarkan menjadi pelakon tambahan. Pada hari ini, itu hampir mustahil.
Dikenali sebagai teraju utama yang berani melawan arus dengan menghasilkan filem berlainan genre seperti XX Ray. Apakah yang mendorong keluar daripada zon selesa arus perdana ketika itu?
Pada awal pembabitan saya sebagai teraju utama filem dan drama, saya tiada agenda lain selain ingin ‘membetulkan’ industri filem ketika itu.
Dengan nawaitu yang tinggi, terselit juga rasa kalau jadi jadilah, kalau tak jadi, tak ada masalah.
Saya tidak pernah terfikir akan pergi sejauh hari ini.
Apa yang saya fikir dan lakukan mudah saya mahu buat filem yang saya sendiri hendak tonton. Saya tidak peduli jika orang lain tidak mahu menontonnya.
Ada yang mengatakan saya melancarkan satu ‘gerakan’. Jika itu persepsi mereka, saya terima dengan penuh syukur. Tetapi mesej sebenar saya ialah lakukan kerja berdasarkan naluri. Kejayaan datang daripada keikhlasan.
MENURUT Aziz, jika mahu kembali kepada naskhah sebenar, penonton pelu dididik semula untuk memahami karya di luar kotak.Adakah industri filem Malaysia hari ini cukup berani menerima karya yang berbeza dan eksperimental atau masih terikat dengan formula selamat?
Industri perfileman dan kandungan hari ini ialah ‘lubuk wang’. Dengan filem mega ‘pecah panggung’ dijadikan rujukan, produser dan pelabur menggunakan template sama untuk memenuhi selera penonton massa.
Ini bagus kerana ia mewujudkan industri yang stabil dan menjanjikan pekerjaan. Penonton tidak boleh disalahkan kerana selera tidak boleh dipaksa.
Namun, jika mahu kembali kepada naskhah filem sebenar, penonton perlu dididik semula untuk memahami karya ‘di luar kotak’. Pihak ‘bijak pandai’ perlu duduk bersama mencari formula dan strategi untuk inisiatif ini.
Apakah elemen paling penting bagi memastikan filem Malaysia kekal relevan kekuatan skrip, keberanian tema, nilai komersial atau identiti tempatan?
Dalam perniagaan, formula dan template akan terus diulang kerana terbukti menguntungkan. Namun akan tiba masanya penonton boleh membaca dan meramal perjalanan filem, lalu menuntut sesuatu yang lebih segar.
Jika tiada persediaan, penonton akan mencari alternatif dan menolak karya tempatan yang dianggap tidak relevan.
Situasi ini pernah berlaku pada akhir 1960-an dan awal 1970-an apabila peminat filem tempatan beralih kepada filem Indonesia yang membawa subjek taboo ketika itu.
Sering menghasilkan karya menggabungkan hiburan dan sindiran sosial. Sejauh mana peranan filem sebagai medium kritikan dan cerminan masyarakat?
Sebagai generasi akhir boomers, saya dibesarkan dalam era di mana hiburan dan isu semasa bergerak seiring.
Kami membaca surat khabar, buku, menonton televisyen, dokumentari, satira dan filem yang mengangkat realiti masyarakat serta politik.
Naluri saya terlatih untuk memaparkan penceritaan berlapis. Ini bukan luar biasa.
Tokoh seperti P. Ramlee, Husin Hanif, M. Amin, U-Wei, Adman Salleh dan Mamat Khalid juga memiliki naluri itu.
Ada ungkapan mengatakan, untuk mengenali seorang terajutama, bacalah karya filemnya. Sebab itu kredit ‘Sebuah Filem…’ diberikan kepada terajutama kerana visi, falsafah dan pegangan karyanya mencerminkan tahap intelektualnya.
Apakah cabaran terbesar industri perfileman Malaysia ketika ini?
Cabaran terbesar ialah menarik perhatian penonton massa yang mempunyai daya fokus pendek. Generasi Z dan Alpha adalah penonton paling penting hari ini.
Penyampaian cerita kini sering dimulakan dengan faktor ‘wow’ untuk menarik perhatian.
Akhirnya, hampir semua filem bermula dengan pendekatan sama. Filem yang baik menyajikan idealisme bukan sekadar ‘taman tema’.
FILEM XX Ray memberi dimensi baharu dalam industri perfileman negara di era 90-an.Platform digital dan penstriman ancaman atau peluang?
Saya melihatnya sebagai peluang. Ia medium alternatif untuk mengetengahkan karya kepada target audience yang masih menghargai filem tetapi tidak lagi gemar ke pawagam.
Fenomena ini juga berlaku di Hollywood apabila teraju utama seperti Coen Brothers, Martin Scorsese, Alfonso Cuarón dan Frank Darabont menghasilkan karya hebat untuk platform penstriman.
Apakah kelemahan utama industri filem Malaysia untuk bersaing di peringkat antarabangsa?
Karya yang berjiwa tidak perlu memaksa perhatian penonton.
Filem Thailand How To Make Millions Before Grandma Dies membuktikan kisah lokal boleh diterima luas. Naskhah dari Iran juga walaupun konservatif, tetap menghasilkan filem bertaraf dunia.
Nasihat tuan kepada terajutama muda yang ingin menghasilkan filem melawan arus?
Tiada halangan untuk sesiapa menghasilkan filem sama ada mengikut arus atau di luar kotak.
Tetapi fundamental pembikinan filem mesti bermula daripada kecintaan terhadap medium itu sendiri. Seperti cef yang baik dia mesti benar-benar memahami makanan.
Jika diberi sokongan penuh hari ini, apakah filem yang ingin dihasilkan?
Saya sedang fokus menghasilkan kisah benar masyarakat Batu Pahat, Johor yang bangkit menentang pengganas komunis selepas kejatuhan J
Jepun.
Saya masih mengharapkan dana dan sokongan.

22 hours ago
5















![[VIDEO] Pasangan AS perkenal nasi lemak, teh tarik kepada anak](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/TULAR-VIRAL-NASI-LEMAK.jpeg)

































