BN Johor berprinsip, bukan sombong – Onn Hafiz

6 hours ago 5

JOHOR BAHRU – Menteri Besar Johor, Datuk Onn Hafiz Ghazi mempertahankan pendirian Barisan Nasional (BN) Johor untuk bertanding di semua 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, sambil mempersoalkan dakwaan bahawa kerajaan negeri tidak memberikan kerjasama kepada Kerajaan Persekutuan.

Penyandang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Machap itu berkata, keputusan BN Johor untuk bertanding di semua kerusi dibuat berdasarkan prinsip parti dan suara majoriti rakyat Johor, meskipun mengakui langkah itu sukar diterima oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

“Saya mengambil maklum pandangan YAB Perdana Menteri bahawa rakyat Johor perlu memilih kepimpinan yang bijak, berprinsip, tidak sombong serta mampu bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan.

“Namun, adakah keputusan saya dan kepimpinan BN memilih untuk berprinsip serta mendengar suara majoriti Bangsa Johor menjadikan saya seorang yang sombong?” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Onn Hafiz turut mengingatkan bahawa pelantikan Menteri Besar dan Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Johor dibuat atas perkenan Duli Yang Maha Mulia Sultan Johor.

Menurut beliau, kerajaan negeri sentiasa terbuka untuk bekerjasama dengan Kerajaan Persekutuan dan tidak pernah menolak pandangan atau bantuan yang memberi manfaat kepada rakyat.

“Kami tidak pernah sombong untuk bekerjasama dan tidak pernah angkuh untuk menerima pandangan atau bantuan. Namun, kami mempunyai prinsip, amanah dan tanggungjawab kepada Institusi Diraja serta kesejahteraan rakyat Johor yang mesti dipelihara,”katanya.

Beliau berkata, kerajaan negeri selama ini banyak membantu melengkapi usaha kementerian Persekutuan walaupun perkara berkenaan berada di bawah bidang kuasa kerajaan pusat.

Katanya, bantuan tahunan diberikan kepada bilik guru dan sekolah, selain sokongan kepada Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ), ibu pejabat polis daerah (IPD) serta kem tentera.

“Kerajaan Negeri juga membantu setiap hospital, klinik dan kemudahan kesihatan awam walaupun urusan kesihatan merupakan tanggungjawab Kementerian Kesihatan.

“Malah, apabila hasil negeri meningkat, Kerajaan Negeri bukan sahaja mengumumkan bantuan khas kewangan kepada penjawat awam negeri, tetapi turut menghargai penjawat awam Persekutuan yang berkhidmat di Johor,” katanya.-KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |