‘Bluefish’, kerjasama geliga tiga negara

1 day ago 5

NASKHAH kerjasama Malaysia, Korea Selatan dan Indonesia,  Bluefish dijangka menyentuh hati penonton menerusi kisah menyayat hati mengenai orang kelainan upaya (OKU).

Dijadualkan menemui khalayak pada 2026, naskhah sentuhan sutradara dari Seoul, Lee Sang-hoon tersebut disifatkan usahasama bijak membabitkan tiga negara yang diyakini mampu menghasilkan karya membanggakan.

Diterbitkan Jazzy Pictures dari Malaysia bersama Oh’ Yes Corporation (Korea Selatan) dan Timeless Productions (Indonesia), Bluefish menggandingkan dua bintang iaitu Ji Seung-hyun, popular sebagai Mr. Sunshine dalam Descendants of the Sun bersama aktres Hong Kong, Cecilia Choi.

Pentas antarabangsa

Pengasas Jazzy Pictures juga Presiden Festival Filem Antarabangsa Malaysia (MIFFest), Joanne Goh, berkata projek ini menjadi impian besar syarikatnya yang komited mengangkat penceritaan berani ke pentas antarabangsa.

“Skripnya kuat dan menyentuh emosi kerana bukan sekadar filem, bahkan potret mendalam tentang insan ‘patah’ yang mencari cahaya dalam tempat tak disangka.

“Saya yakin ia mampu bersaing di festival filem antarabangsa apatah lagi dibikin bersama pasukan produksi dari negara jiran. 

“Reputasi Jazzy Pictures juga sudah mapan kerana sebelum ini kami dikenali melalui filem Crossroads: One Two Jaga arahan Nam Ron,” katanya.

Bluefish yang menggunakan kos mencecah RM4.2 juta kini berada dalam fasa praproduksi dan dijadualkan memulakan penggambaran Oktober ini di Busan dan Yeongdeok, Korea Selatan. 

Sementara itu, pengarahnya Lee Sang-hoon berkata inspirasi filem berkenaan  daripada pemerhatiannya terhadap layanan masyarakat terhadap OKU yang sering diselubungi ‘simpati senyap’ dan ketidakselesaan.

“Kita selalu lihat mereka dari jauh, malah ada yang menganggap insan istimewa itu bukan sebagai sebahagian daripada komuniti.

“Filem ini bukan mahu menunjukkan ketidakupayaan sebagai sesuatu yang luar biasa, tetapi sebahagian daripada kehidupan,” katanya.

Ji Seung-hyun pula mengakui watak yang dibawa sebagai bekas ahli kumpulan kongsi gelap bernama Gwang-su, memerlukan persediaan fizikal dan emosi yang besar.

Beri harapan

“Saya perlu banyakkan senaman dan latihan aksi tapi paling penting, saya harap filem ini mampu beri harapan dan semangat kepada golongan OKU bahawa mereka juga mampu hidup berdikari dan bermakna,” ujarnya.

Bluefish mengisahkan Gwang-su, seorang lelaki bermasalah dengan masa silam yang kelam dan penuh keganasan. 

Hidupnya berubah selepas bertemu Yeon-jeon, gadis bisu yang bekerja sebagai penghantar susu kerana biarpun tanpa suara, Yeon-jeon menunjukkan kebaikan dan kelembutan yang meruntuhkan dinding kedegilan Gwang-su. 

Namun satu insiden menyayat hati memisahkan mereka apabila Gwang-su terpaksa memilih sama ada kembali ke jalan hitam atau mempertahankan satu-satunya insan yang memberinya harapan untuk hidup.

Bluefish adalah kisah penebusan, pengorbanan dan kekuatan kasih sayang dalam dunia yang sukar, sekali gus menjadi sebuah naskhah yang dijangka membuka mata masyarakat terhadap realiti OKU. 

Read Entire Article
Pertanian | | | |