MENGIMARAHKAN emosi musim haji, TV AlHijrah meneruskan agenda tahunan dengan pelancaran Kempen Program Haji 1446H bertemakan ‘Menyahut Panggilan-Mu’.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd. Na’im Mokhtar sewaktu pelancaran kempen berkenaan baru-baru ini menjelaskan, pemilihan tema melambangkan ketaatan, pengorbanan dan kerinduan setiap jiwa untuk menjadi tetamu Allah di Tanah Suci.
Menurut Mohd. Na’im, kempen tersebut bukan hanya sekadar memperkenalkan kandungan baharu sempena musim haji, tetapi sebagai permulaan kepada perjalanan intelektual dan spiritual kepada seluruh penonton.
“TV AlHijrah berperanan sebagai jambatan nurani yang menyampaikan bukan hanya visual, tetapi penghayatan terhadap ibadah agung.
“Program haji ini hadir tepat pada waktunya bagi membimbing masyarakat melalui naratif yang membumi, visual yang menyentuh jiwa, dan kandungan yang sarat nilai ketuhanan serta kemanusiaan seiring aspirasi Kerajaan Madani dalam mengangkat martabat insan.
“Saya percaya program musim haji tahun ini bukan sekadar tontonan bermusim, tetapi akan menjadi pencetus keinsafan, mencambah ilmu dan membina jiwa yang bukan sahaja untuk bakal jemaah, tetapi untuk seluruh rakyat yang mendambakan ketenangan dan hidayah dalam kehidupan,” katanya.
Majlis pelancaran tersebut turut disertai oleh Pengerusi TV AlHijrah, Mohd. Khair Ngadiron; Ketua Pegawai Eksekutif, Namanzee Harris, rakan-rakan strategik korporat serta wakil daripada IDEAS Autism Centre.

Antara program utama musim haji tahun ini adalah Alumni Haji, Labbaikallah 2025, 30 Minit Bersama Prof. Dato’ Dr. Mohd. Farid Ravi Abdullah, Kisah Mutawif, Munajat Arafah, dokumentari Umrah Yatim Palestin dan telefilem khas Bilal dan Abah lakonan Azhan Rani.
Telefilem istimewa arahan Pali Abdullah tersebut mengisahkan seorang lelaki orang kelainan upaya dalam menzahirkan kecintaan kepada Islam. Dia menyanjungi peribadi sahabat Rasulullah, Saidina Bilal Rabah dan mahu ke Mekah untuk melaungkan azan.
Kejayaan
Selain itu, beliau berkata, TV AlHijrah yang menyantuni para tetamu Allah seawal Syawal menerusi siaran langsung Interaktif Haji yang hingga menerima sambutan luar biasa di pelbagai platform digital termasuk TikTok dan Facebook Live.
“Sejak awal Syawal, TV AlHijrah telah menyiarkan program Interaktif Haji yang dikendalikan secara langsung oleh Ustaz Harryanto Rizal, Ustazah Ayu Suhana Merican dan Ustazah Yusnah Yusuff.
“Program ini mendapat sambutan yang sangat menggalakkan, disiarkan serentak menerusi televisyen, TikTok dan Facebook Live, kerana menjadi pecutan terakhir dalam persiapan rohani dan praktikal untuk ibadah haji,” jelasnya.
Menerusi kenyataan tersebut, pencapaian TV AlHijrah dalam musim haji tahun lalu turut menjadi pencetus kepada kempen tahun ini. Lebih 9 juta jumlah tontonan direkodkan bagi keseluruhan kandungan, menyaksikan peningkatan tontonan sebanyak 40 peratus.
Program-program seperti Labbaikallah, Munajat Arafah dan Peristiwa Haji mencatat peningkatan lebih 40 peratus dalam rating, manakala program baharu Podcast Haji berjaya meraih lebih jua juta tontonan.
TV AlHijrah juga cemerlang apabila berjaya mencatatkan peningkatan tontonan sebanyak 21 berbanding tahun sebelumnya, serta menduduki tempat ketiga tertinggi dalam kalangan penonton Melayu pada minggu pertama Ramadan lalu.
Kejayaan berkenaan impak program seperti Falah Insani, Kalam Junjungan, Taranum Challenge, Ibrah Ramadan dan Panggilan Ilmu, Assalam Sahur, Assalam Subuh dan Hadis@114.