‘Bila dah ada anak, saya tak mahu kemasyhuran’

11 hours ago 7

KUALA LUMPUR – Lebih sedekad meninggalkan arena seni, bekas pelakon dan usahawan, Zul Yahya kekal dengan pendirian tidak akan membuat pusingan-U untuk kembali ke dunia lakonan.

Zul atau nama lengkapnya, Zulkifli Yahya, 53, berkata keputusan dibuat adalah demi anak-anak biarpun perniagaan yang diusahakan sejak beberapa tahun lalu berdepan pasang surut.

“Dahulu memang pernah ada tawaran tetapi mungkin ramai tahu saya akan tolak, jadi sekarang saya tidak lagi menerima apa-apa tawaran. Ramai juga kawan lama yang dah bergelar pengarah ajak saya masuk set.

“Mereka pun faham bila saya tolak . Bukan sebab saya dah berhijrah, cuma apabila dah ada anak-anak, saya tak mahu benda itu (kemasyhuran) sedikit sebanyak bagi kesan kepada mereka,” katanya selepas program Ziarah Seni Madani anjuran Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas), baru-baru ini.

Menurut bapa kepada tujuh cahaya mata itu, dia enggan nanti permata hatinya terdedah kepada tempias populariti andai dirinya masih meneruskan kerjaya lakonan.

“Bukan saya tak nak berlakon kerana rasa dunia ini tak berapa bagus rezekinya, tidak. Dunia sekarang sangat terdedah dengan kemasyhuran. Tanpa televisyen pun boleh popular dengan melalui media sosial sahaja.

“Lagipun, kemasyhuran sekarang tak sama macam era lalu. Kemasyhuran hari ini kalau tak dikawal, boleh tergelincir dan membawa kepada benda memudaratkan. Saya sangat menitikberatkan mereka hidup dalam keadaan selamat.

“Saya kena cari jalan rezeki mana yang lebih baik untuk kami sekeluarga. Saya nak anak-anak lihat susah payahnya saya dan ibu mereka mencari rezeki. Dari situ, mereka juga dapat belajar sesuatu” ujarnya.

Tambah aktor yang popular di era 2000 itu, kesemua anak-anaknya juga tahu dia pernah bergelar pelakon apatah lagi dia masih menyimpan majalah serta VCD lama lakonannya.

“Mereka tahu bapa mereka pelakon sebab di rumah pun masih banyak majalah lama, cuma di kediaman saya memang tiada televisyen,” katanya.

Terdahulu, Zul dan keluarganya menerima sumbangan wang tunai daripada Ketua Pegawai Operasi Finas, Datuk Azmir Saifuddin Mutalib berikutan kesulitan hidupnya.

Pelakon filem Usin UFO juga arahan serta lakonan terakhirnya sekitar 2016 kemudian berhijrah ke Perak bagi memberi lebih fokus terhadap bisnes diusahakan sebelum Covid-19 menyerang dunia sejak gus turut kelumpuhkan operasi perniagaannya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |