‘Bila bertiga, semuanya kita kongsi walau satu sen’

9 hours ago 1

MENJADIKAN gabungan dengan rakan seperjuangan sebagai projek berterusan, penyanyi Datin Alyah bakal merealisasikan persembahan An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah di Park Inn by Radisson Putrajaya pada Jun depan.

Acara berkenaan boleh dikatakan langkah permulaan untuk tiga serangkai itu ‘berkepak’ ke hotel lain selepas aksi sulung yang sekali gus  menjadi  ‘trademark’ mereka.

Akui pemilik nama lengkap Noor Hasliah Abu Hasan, 44, idea berkolaborasi bersama tiga sahabatnya itu antara lain mahu mengembalikan semula kemeriahan persembahan Minggu Setiausaha yang pernah menjadi kewajipan di setiap hotel suatu ketika dahulu.

Kata, gabungan  tersebut dibincangkan bersama Pengarah Kreatif Roslen Fadzil yang merangka untuk berkolaborasi dengan lebih banyak hotel lagi selepas ini.

“Kolaborasi ini bukan sekadar berkongsi pentas, bahkan berbahagi tanggungjawab, usaha serta kos secara bersama. Roslen bagi idea agar saya berkolaborasi dengan Idayu untuk penghasilan single serta showcase.

“Selepas berbincang, kami bersetuju mengundang Ayu Damit disusuli penyertaan Idayu. Kolaborasi ini banyak kebaikan buat semua pihak, kalau buat solo 100 peratus kos perlu ditanggung sendiri.

“Apabila bertiga, semuanya kita kongsi walau satu sen sekalipun dan keuntungan yang bakal diperolehi dibahagikan sama rata,” katanya selepas pelancaran An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah, di Park Inn by Radisson Putrajaya.

Menurutnya, Idayu dan Ayu yang dikenali dengan vokal ampuh merupakan pilihan regu paling tepat apabila sanggup bersusah senang dengannya.

“Saya ada bertanya kepada beberapa penyanyi, tetapi pendekatan mereka berbeza. Mereka mahu saya bayar dan hanya datang menyanyi sahaja sedangkan saya tak mahu macam itu,” katanya.

Mereka bertiga juga tidak bimbang soal kerugian apabila sudah mendapat penaja selain dapat menggunakan fasiliti hotel sepenuhnya selama dua malam iaitu 21 dan 22 Jun ini.

Teruja

Sementara itu, Idayu mengakui berdebar apabila dilamar Alyah, namun tidak mampu menyembunyikan keterujaan memandangkan ini showcase besar pertama sejak bergelar penyanyi dua dekad lalu.

“Saya tanya Alyah kenapa dia tidak tampil solo walhal namanya sendiri sudah cukup besar tetapi dia maklumkan lebih baik buat kolaborasi sekali gus menawarkan variasi.

“Kemudian Alyah perkenalkan saya dengan Ayu. Kiranya banyak perancangan selepas ini termasuk bawa showcase ini ke Johor,” katanya.

Ayu dapat pula menyifatkan gabungan persembahan bersama majlis koktail satu langkah bijak apabila penonton bukan hanya menikmati persembahan dan juadah enak, malah dapat melaram.

An Evening To Remember With Ayu, Idayu & Alyah bukan showcase biasa-biasa kerana seleksi lagu yang bakal dipersembahkan sememangnya menguji vokal serta disukai ramai,” ujarnya.

Tiket persembahan istimewa yang bakal diselitkan segmen sampingan pada kadar RM350 meliputi sesi ramah mesra dan koktel, manakala tempat duduk RM250 turut disediakan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |