Bersatu Larut, Lembah Pantai bubar serta-merta

18 hours ago 6

PETALING JAYA – Kemelut dalaman Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semakin parah apabila dua bahagian parti itu iaitu Larut dan Lembah Pantai mengumumkan pembubaran berkuat kuasa serta-merta hari ini.

Pengumuman itu dibuat menerusi rakaman video yang dimuat naik di Facebook rasmi Bersatu, dengan kepemimpinan kedua-dua bahagian secara terbuka menyatakan hilang kepercayaan terhadap Presiden parti, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Timbalan Ketua Bersatu Larut, Mohd Noh Md. Daud berkata, keputusan drastik itu dibuat selepas mendapat mandat penuh daripada kepemimpinan pelbagai peringkat di bahagian tersebut.

Menurutnya, sebanyak 48 cawangan di bawah Bersatu Larut sebulat suara mengisytiharkan pembubaran susulan hilang keyakinan terhadap hala tuju parti.

“Keputusan ini diperkuatkan lagi dengan pemecatan Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin dan Ketua Bersatu Larut, Mohd Hassundi Hamzah,” katanya.

Ketua Penerangan Bersatu Larut, Mohd Azurin Abdul Wahab pula memaklumkan seluruh kepemimpinan dan ahli jawatankuasa bahagian itu bertindak meninggalkan parti.

“Pergolakan dalaman semakin meruncing dan kami melihat parti sudah hilang arah tuju. Kemuncaknya ialah pemecatan Hamzah dan Mohd Hassundi.

“Saya bersama jawatankuasa dan ketua cawangan hilang kepercayaan terhadap kepemimpinan sedia ada,” ujarnya.

Sementara itu, Ketua Bersatu Lembah Pantai, Datuk Muqharabbin Mokhtarrudin berkata, keputusan pembubaran dibuat tanpa sebarang paksaan dalam mesyuarat yang dipengerusikannya.

Katanya, surat pemakluman rasmi akan dihantar kepada Ibu Pejabat Bersatu dalam masa terdekat.

“Kami berterima kasih atas peluang yang diberikan selama ini dan akan terus berkhidmat kepada rakyat melalui platform lain seperti NGO.

“Insya-Allah kita berjumpa lagi di lapangan berbeza,” katanya.

Terdahulu, Bersatu digegarkan dengan tindakan pemecatan beberapa pemimpin kanan termasuk Timbalan Presiden, Datuk Seri Hamzah Zainudin, yang mencetuskan gelombang reaksi dalam kalangan akar umbi parti.- KOSMO! ONLINE.

Read Entire Article
Pertanian | | | |