Bekas Timbalan Speaker didakwa rasuah projek tambak laut Melaka

5 hours ago 6

SHAH ALAM – Seorang bekas Timbalan Speaker Dewan Negara mengaku tidak bersalah atas pertuduhan menerima suapan wang tunai bernilai RM235,000 dan tiga kereta mewah bagi projek penambakan laut seluas 40.4 hektar di Melaka.

Tertuduh, Datuk Seri Mohamad Ali Mohamad, 61, membuat pengakuan tersebut selepas 20 pertuduhan dibacakan kepadanya di hadapan Hakim Awang Kerisnada Awang Mahmud.

Berdasarkan 17 pertuduhan, Mohamad Ali sebagai Pengarah Urusan sebuah syarikat pemaju didakwa menerima suapan wang tunai keseluruhan RM235,000 daripada seorang pengarah syarikat subkontraktor bergelar Datuk.

Baki tiga pertuduhan, lelaki itu menerima tiga buah kenderaan masing-masing jenis BMW 730Li, Range Rover dan Bentley Flying Spur daripada individu sama.

Ia sebagai balasan bagi melantik individu berkenaan dan syarikatnya sebagai kontraktor bagi menjalankan kerja-kerja “Construction and Completion Of Reclamation Works and All Related Works” bernilai RM45,165,000.

Ini dibawah projek cadangan menambak laut seluas 100 ekar (40.4 hektar) di perairan kawasan Kota Laksamana, Kawasan Bandar 6, Daerah Melaka Tengah, Melaka untuk tujuan pembangunan bercampur oleh syarikat tertuduh.

Kesemua perbuatan itu dilakukan di dua buah premis masing-masing di Glenmarie di sini dan Sungai Buloh antara Januari 2017 hingga 20 Januari tahun ini.

Justeru, dia didakwa mengikut Seksyen 16 (a)(A) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Datuk Ahmad Akram Gharib mencadangkan jaminan RM60, 000 bersama seorang penjamin dan pasport diserahkan kepada mahkamah.

Peguam Md. Yunos Shariff bersetuju dengan jumlah tersebut bagi kesemua 20 pertuduhan itu.

Mahkamah membenarkan cadangan pihak pendakwaan selain tertuduh dilarang berhubung dengan mana-mana saksi pendakwaan.

Sebutan semula kes ditetapkan 24 Julai depan. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |