Bekas pengarah Jabatan Belia dan Sukan didakwa terima rasuah

7 hours ago 2

MELAKA – Bekas Pengarah Jabatan Belia dan Sukan (JBS) Negeri Melaka didakwa di Mahkamah Sesyen di sini, hari ini atas pertuduhan mengemukakan dokumen palsu dan menerima suapan berjumlah RM8,000 pada 2023 dan 2024 lalu.

Tertuduh, Khairul Adri Rosli, 51, mengaku tidak bersalah sejurus lima pertuduhan dibacakan oleh jurubahasa mahkamah di hadapan Hakim Elesabet Paya wan.

Berdasarkan kertas pertuduhan, tertuduh didakwa sebagai ejen kerajaan iaitu Pengarah JBS Negeri Melaka telah menggunakan satu dokumen mengandungi butir matan palsu iaitu baucar pembayaran bagi Kerja-Kerja Naik Taraf Gelanggang Tenis dan Petanque di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka berjumlah RM126,100 yang tidak dilaksanakan mengikut spesifikasi seperti mana sebut harga.

Kesalahan itu dilakukan di pejabat JBS Negeri Melaka dalam daerah Melaka Tengah pada 8 Disember 2023.

Sementara itu, tertuduh turut berdepan empat pertuduhan di bawah Seksyen 165 Kanun Keseksaan (KK) kerana menerima wang tunai berjumlah RM8,000 tanpa balasan daripada seorang lelaki berusia 63 tahun yang mempunyai hubungan dengan tugas rasmi tertuduh bagi Kerja-Kerja Naik Taraf Gelanggang Tenis dan Petanque di Kompleks Belia dan Sukan Negeri Melaka serta Perkhidmatan Pembersihan Dalam Bangunan dan Landskap Kompleks Sukan Masjid Tanah masing-masing berjumlah RM126,100 dan RM346,800.

Kesalahan itu dilakukan di empat lokasi berbeza di sekitar Ayer Keroh dalam daerah Melaka Tengah antara 25 September 2023 dan 25 Jun 2024.

Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jumlah jaminan RM25,000 bagi kesemua pertuduhan beserta syarat tambahan pasport diserahkan kepada mahkamah dan melapor diri di pejabat SPRM Melaka sekali sebulan.

Peguam T. Gajendran yang mewakili tertuduh merayu jaminan rendah dengan alasan anak guamnya akan digantung tugas dan menerima separuh gaji selain menanggung keluarga dan menghidap sakit jantung kronik.

Katanya, tertuduh hanya mempunyai wang jaminan RM10,000 yang dipinjam daripada saudara mara.

Mahkamah kemudian membenarkan jaminan sebanyak RM20,000 bagi kesemua pertuduhan dengan seorang penjamin beserta syarat tambahan dipohon pendakwaan dan menetapkan tarikh 15 Ogos depan untuk sebutan semula kes.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |