TAPAH – Pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang di Gunung Batu Putih di Tapah berdepan dengan detik sukar kerana hanya membawa bekalan dua botol air dan buah kurma sebagai sumber kelangsungan hidup.
Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Datuk Sayani Saidon berkata, operasi mencari dan menyelamat (SAR) telah melepasi tempoh 72 jam dengan bekalan wanita itu mungkin telah habis.
“Jadi kita ambil kira, masa ini kondisi dia semakin lemah. Saya dimaklumkan oleh malim dia tidak membawa bekalan makanan yang cukup hanya buah kurma dan dua botol air.
“Kita pun ada jumpa satu botol air yang dia dah buang jadi maknanya ada satu botol air lagi sahaja. Jadi kemungkinan untuk dia kekal cergas selepas 72 jam memang agak sukar,” katanya kepada pemberita pada sidang media di Pusat Kawalan Bomba, Surau At-Taqwa Stesen Janakuasa Sultan Idris II Woh, Tapah hari ini.
Katanya, situasi wanita cekal itu lebih kritikal kerana sumber makanan telah habis, perkakasan bagi tempat perlindungan amat terhad selain tidak membawa pemetik api untuk memanaskan badan di kawasan pergunungan yang kesejukan ekstrim pada waktu malam.
Jelasnya, faktor itu mungkin menyebabkan Jaslinda mengubah perancangan untuk menyelamatkan diri dengan mencari sumber air di sungai.
“Kemungkinan dia ikhtiar menuju ke Kem Sukaneka sekiranya mendengar punca air di sebelah kiri iaitu Sungai Ayer Busok.
“Esok kita akan fokuskan SAR di sungai itu kerana kemungkinan dia akan ke situ selain ada pengalaman mendaki Gunung Batu Putih sebelum ini,” katanya.
Tambah beliau, kawasan laluan yang dilalui Jaslinda kini mungkin tiada punca air menyebabkan dia semakin tidak bertenaga dan lemah.
Berhubung pengalaman Jaslinda sebelum ini pernah mendaki Gunung Batu Putih yang menjadikan agak mustahil untuk dia sesat Sayani berkata, pendakian pertama itu secara berkumpulan termasuk malim gunung.
“Saya dimaklumkan ini adalah kali kedua. Dia dah ada pengalaman sebelum ni mendaki Gunung Batu Putih tetapi secara berkumpulan.
“Yang kali ini, dia tertinggal jadi kemungkinan nak mengejar kawan lain itu yang menyebabkan tersilap ambil laluan,” katanya.
Berkenaan kesukaran operasi menyelamat, Sayani berkata, kawasan sekitar pergunungan itu terdapat puncak-puncak bukit tinggi yang perjalanannya melalui darat mengambil masa empat ke lima jam.
Susulan itu, tiada perkhidmatan dron digunakan kerana kawasan hutan tebal termasuk Pasukan Unit Anjing Pengesan (K9) JBPM.
Sementara itu, Timbalan Ketua Polis Daerah Tapah, Deputi Superintenden Mohd Fadzil Ismail berkata, seramai 92 anggota daripada pelbagai agensi terlibat dalam operasi SAR itu merangkumi polis, JBPM, Pasukan Gerakan Am, Jabatan Perhutanan serta malim gunung.
Katanya, selain udara, fokus operasi digerakkan melalui laluan darat iaitu dari Pos Musuh dan Pos Kuala Woh melibatkan pasukan kumpulan terdiri daripada tiga hingga empat anggota termasuk malim gunung yang mahir dengan keadaan muka bumi di kawasan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

6 hours ago
7







![[VIDEO] Pemandu e-hailing ‘campak’ pelanggan tepi jalan pagi Aidiladha](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-13.56.27.jpeg)




![[VIDEO] Penumpang tampar isteri ketika pertikai bayaran tambang RM7](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/WhatsApp-Image-2026-05-28-at-10.12.59.jpeg)


































