Batal lesen NSM, kerajaan tuntut KDA RM1.06 bilion

15 hours ago 8

PETALING JAYA – Kerajaan mengemukakan tuntutan berjumlah EUR226.13 juta bersamaan kira-kira RM1.06 bilion daripada firma Kongsberg Defence & Aerospace AS (KDA), berhubung pembatalan lesen eksport Naval Strike Missile (NSM) oleh Kerajaan Norway.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata jumlah itu merangkumi tuntutan langsung sebanyak EUR129.86 juta, iaitu bayaran yang telah dibuat oleh kerajaan.

Beliau berkata, ia turut melibatkan tuntutan tidak langsung sebanyak EUR96.26 juta yang melibatkan implikasi kos dan kesan sampingan akibat kegagalan pembekalan sistem berkenaan.

“Berhubung isu pembatalan lesen eksport NSM oleh Kerajaan Norway, pada masa ini jumlah sebenar kos tambahan atau ‘overrun cost’ yang akan ditanggung oleh kerajaan masih belum dapat dimuktamadkan.

“Ini kerana ia bergantung kepada kaedah penyelesaian yang akan dipersetujui serta pilihan penggantian sistem persenjataan yang sedang dinilai,” katanya.

Beliau berkata demikian menjawab pertanyaan Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (PN-Tanah Merah) menerusi siaran di laman web Parlimen, yang meminta kerajaan menyatakan status pelaksanaan Sea Trial Kapal KD Maharaja Lela oleh pihak Lumut Naval Shipyard (Lunas) yang dilaksanakan pada hari terakhir bulan April 2026.

Beliau turut bertanya tentang jumlah kos ‘overrun’ yang mungkin terpaksa ditanggung oleh kerajaan akibat pembatalan kontrak peluru berpandu jenis NSM dari Norway.

Tentang KD Maharaja Lela, Mohamed Khaled menjelaskan, beberapa siri ujian dan penilaian telah dilaksanakan secara berperingkat bagi mengesahkan prestasi platform, sistem navigasi, sistem pendorongan dan sistem-sistem utama kapal sebelum proses penerimaan oleh Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM).

“Kementerian dimaklumkan bahawa pelaksanaan Sea Trial yang dilaksanakan oleh Lunas pada 29 April 2026 telah berjalan mengikut perancangan yang ditetapkan serta menunjukkan kemajuan positif.

“Penerimaan rasmi kapal tertakluk kepada penyempurnaan Sea Acceptance Trial, pembetulan sebarang penemuan teknikal dan pengesahan akhir oleh TLDM,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |