Baru sebulan beroperasi, kilang kayu haram diserbu PGA

8 hours ago 6

GUA MUSANG – Lima individu termasuk seorang wanita dicekup selepas dipercayai terlibat dalam kegiatan memproses kayu di kilang haram yang baru beroperasi kira-kira sebulan lalu di Kampung Sungai Bayu di sini semalam.

Serbuan kira-kira pukul 4 petang itu dijalankan oleh Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion 8 dengan kerjasama Jabatan Perhutanan Jajahan Machang turut merampas pelbagai jenis kayu, peralatan memotong kayu dan jentera yang dianggarkan bernilai RM1.69 juta.

Komander Briged Tenggara PGA, Senior Asisten Komisoner Ahmad Radzi Hussain berkata, anggota PGA pada awalnya menahan sebuah lori yang keluar dari kawasan kilang dengan muatan kayu dan tiga lelaki yang sedang menjalankan kerja pemprosesan kayu di dalam premis berkenaan.

Sebahagian kayu yang dirampas dalam serbuan di sebuah kilang kayu haram di Kampung Sungai Bayu, Gua Musang semalam. Foto PGA

Katanya, hasil pemeriksaan, kilang tersebut beroperasi tanpa lesen sah daripada Jabatan Perhutanan dan dipercayai menjalankan aktiviti pemprosesan kayu tidak bercukai.

“Seorang wanita berusia 47 tahun yang merupakan pemilik kilang itu mengaku mengendalikan operasi tersebut sejak kira-kira sebulan lalu.

“Wanita itu memaklumkan, kilang tersebut sebelum ini disewakan kepada kenalan suaminya yang juga menjalankan pengoperasian kilang kayu haram,” katanya ketika dihubungi pemberita hari ini.

Ahmad Radzi memberitahu, pemeriksaan lanjut di kawasan kilang itu menjumpai pelbagai peralatan termasuk dua mesin gergaji pita, jentera berat dan ribuan batang kayu pelbagai spesies yang dianggarkan bernilai RM1.69 juta. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |