KLANG – Perbuatan terkutuk seorang pemandu lori yang merogol anak kandung perempuannya sebanyak dua kali berbalas apabila dihukum penjara 10 tahun dan 20 sebatan oleh Mahkamah Sesyen di sini, hari ini.
Hakim Siti Aminah Ghazali menjatuhi hukuman itu selepas tertuduh berusia 37 tahun mengaku bersalah atas dua pertuduhan dihadapinya.
Mahkamah turut memerintahkan tertuduh menjalani perintah kaunseling dan pengawasan polis selama dua tahun selepas menjalani hukuman itu.
Berdasarkan pecahan hukuman, tertuduh dijatuhi hukuman penjara 10 tahun bagi setiap pertuduhan namun berjalan dari tarikh ditangkap pada 14 Jun lalu.
Mengikut pertuduhan, bapa kepada dua anak itu didakwa telah merogol anak kandung perempuannya di sebuah rumah di Meru, Klang pada pukul 3 petang 10 November 2024 dan 7 pagi 17 Mei lalu.
Semasa kejadian mangsa berusia 10 dan 11 tahun.
Sabit kesalahan bagi setiap pertuduhan boleh dipenjara sehingga 30 tahun dan tidak kurang 10 sebatan mengikut Seksyen 376 (3) Kanun Keseksaan.
Tertuduh yang tidak diwakili peguam merayu agar hukuman dikurangkan supaya dia dapat berubah selain menyara dua anak serta isteri.
“Saya sangat menyesal perbuatan ini dan bertaubat tidak buat lagi. Harap mahkamah dapat dengar apa yang saya sampaikan dan kurangkan hukuman,” katanya.
Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya Nurul Jannah Aimi memohon hukuman berat diberikan kerana ia melibatkan kesalahan serius dan mempertimbangkan kekerapan kes jenayah seksual kanak-kanak di Selangor.
“Tertuduh sebagai bapa kandung mempunyai amanah menjaga dan membesarkan pengadu (anak) namun telah mengkhianatinya dengan perbuatan terkutuk.
“Berharap mengambil kira trauma kejadian itu akan menghantui mangsa seumur hidup. Mohon perintah kaunseling dan pengawasan polis terhadap tertuduh,” tegasnya. – KOSMO! ONLINE