Banyak negara miliki usia persaraan 65 tahun

5 hours ago 3

KUALA LUMPUR – Langkah untuk meningkatkan had minimum usia persaraan mungkin tidak dapat dielakkan dalam jangka panjang ketika Malaysia semakin menghampiri status negara menua, atau populasi di negara ini akan terpaksa bergantung kepada tenaga buruh yang lebih kecil.

Ahli Ekonomi Kanan bagi Perlindungan Sosial dan Amalan Pekerjaan Global di Bank Dunia, Matthew Dornan berkata, Malaysia telah menaikkan usia persaraan minimum dari 55 kepada 60 tahun pada 2012 dan apabila populasi tua meningkat, akan ada tekanan untuk meningkatkan usia persaraan.

“Bila dan bagaimana ia akan dilakukan, saya kurang jelas. Adakah 65 tahun usia yang tepat? Ia memerlukan lebih pertimbangan secara teliti. Namun banyak negara yang memiliki usia persaraan 65 tahun.

“Perbincangan mengenainya sentiasa bersifat politik dan kontroversi. Tetapi apa yang turut menjadi kontroversi di sini adalah umur orang boleh mengakses pencen mereka.

“Di Malaysia dan negara saya sendiri, Australia, pekerja boleh mengakses pencen lebih awal berbanding usia bersara.

“Tetapi saya fikir amalan yang baik adalah dengan menyelaraskan akses pencen dan usia persaraan, yang boleh membantu supaya orang ramai tidak menghabiskan simpanan persaraan mereka sebelum berhenti bekerja,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyampaikan pembentangan bertajuk ‘Buruh dan Umur Panjang: Menyahut Cabaran Populasi Menua’ pada Persidangan Kesejahteraan Sosial Antarabangsa (ISWC) 2025 di sini, semalam.

Menurut Dornan, terdapat pelbagai cara untuk meningkatkan usia persaraan, selalunya negara melakukannya secara berperingkat, contohnya dalam setiap tiga atau empat tahun, umur persaraan mungkin boleh dinaikkan sebanyak setahun, atau kurang.

Jelasnya, satu lagi pendekatan biasa adalah pengenaan umur persaraan berbeza bagi kohort usia yang berlainan, dengan kumpulan pekerja yang lebih muda tertakluk kepada usia persaraan yang lebih lewat.

“Ini sering dilihat sebagai lebih adil, dan impak yang lebih sedikit ke atas rancangan persaraan individu yang hampir bersara. Ia juga menjadikan perbincangan ini kurang sensitif, kerana golongan muda kurang memberi tumpuan kepada soal persaraan,” katanya.

Tahun lalu, sebanyak 7.7 peratus rakyat Malaysia adalah mereka yang berumur 65 tahun dan ke atas, dan peratusan ini dijangka meningkat kepada 14 peratus menjelang 2043, menandakan peralihan Malaysia kepada status negara tua. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |