PETALING JAYA – Dua rakyat Malaysia terjejas dalam kejadian bencana apabila sebuah bangunan runtuh di bandar Angeles, utara ibu negara Manila, Filipina.
Kementerian Luar dalam kenyataannya berkata, seorang mangsa disahkan selamat dan status seorang lagi warga Malaysia sedang giat dikenal pasti.
“Kedutaan Besar Malaysia di Manila sedang mengumpul maklumat sahih menerusi pihak berkuasa berkaitan bagi mengetahui keadaan sebenar di lapangan.
“Pihak Kedutaan sedang berhubung rapat dengan pihak berkuasa bagi memantau keadaan warganegara yang selamat dan mengesahkan status serta keberadaan seorang lagi rakyat Malaysia yang terlibat,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut Wisma Putra, segala usaha sewajarnya sedang diambil bagi mengesan dan menghubungi waris kedua-dua individu berkenaan.
“Kementerian Luar akan terus menyalurkan maklumat lanjut dan perkembangan situasi setelah maklumat sahih diperoleh,” katanya.
Rakyat Malaysia yang memerlukan bantuan konsular segera atau mempunyai maklumat mengenai rakyat Malaysia lain yang mungkin berada di kawasan terjejas diminta menghubungi Kedutaan Besar Malaysia di Manila menerusi talian umum +63 286628200, nombor kecemasan (selepas waktu pejabat) +63 961 0778113 atau e-mel di [email protected].
Sementara itu, pihak kementerian turut menzahirkan rasa simpati kepada semua pihak yang terkesan dalam insiden tersebut.
“Kementerian Luar sedang memantau dengan teliti perkembangan situasi berhubung kejadian. Operasi menyelamat sedang dijalankan bagi mengesan individu-individu yang dikhuatiri terperangkap,” katanya.
Terdahulu, media antarabangsa melaporkan seramai 26 individu diselamatkan selepas sebuah bangunan sembilan tingkat yang sedang dalam pembinaan runtuh di Bandar Angeles. – KOSMO! ONLINE

3 hours ago
2



![[VIDEO] GSF 2.0: 28 aktivis Malaysia selamat tiba di KLIA dari Istanbul](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/AKTIVIS-MALAYSIA-GSF-GSF-2.0.jpeg?v=1779636357)











































