‘Ayah akan tunggu ibu Jaslinda, dia tidak kemana-mana’

8 hours ago 9

TAPAH – “Ayah akan tunggu ibu. Dia tak akan ke mana-mana”.

Demikian kata Nurr Ashikin Haszman, 29, anak tiri kepada Jaslinda Saludin, 49, yang dilaporkan hilang ketika ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih di sini, sejak Ahad lalu.

Menurut Nurr Ashikin, bapanya, Haszman Othman, 61, masih setia menunggu di Surau At-Taqwa, Stesen Janakuasa Sultan Idris II, Kuala Woh yang menempatkan Pusat Kawalan Tempat Kejadian (PKTK), sambil menantikan perkembangan operasi mencari dan menyelamat (SAR) wanita tersebut.

Katanya, pada peringkat awal kehilangan wanita itu, bapanya dilihat lebih banyak mendiamkan diri kerana berada dalam keadaan sedih selain masih belum menerima maklumat lengkap mengenai operasi pencarian.

“Saya sendiri pun tahu mengenai kehilangan ibu melalui media. Ayah mungkin sedang serabut dan dia tak teringat untuk beritahu sesiapa.

“Sekarang pun ayah dan adik (tiri) masih menunggu di kawasan operasi. Mereka enggan meninggalkan lokasi sehingga ibu dijumpai,” katanya ketika dihubungi di sini hari ini.

Menurut Nurr Ashikin, perkembangan terkini operasi SAR termasuk penemuan jejak dan beberapa barangan dipercayai milik Jaslinda memberi sedikit kelegaan kepada keluarga.

Katanya, penemuan itu turut menyuntik harapan agar Jaslinda dapat ditemui dan dibawa pulang dalam keadaan selamat.

“Ibu yang saya kenali seorang yang lasak, kuat dan berani. Jadi kami percaya dia mampu bertahan dalam keadaan itu.

“Bila pihak SAR memaklumkan penemuan jejak dan sebagainya, ia semakin menguatkan semangat kami untuk terus yakin dia akan kembali,” katanya.

Sementara itu, mengulas mengenai keadaan bapanya, anak bongsu daripada empat beradik itu berkata, bapanya setakat ini berada dalam keadaan baik apabila sudah mula makan seperti biasa.

“Alhamdulillah, ayah lebih okey sekarang. Saya pun ada bawakan ubat-ubatan seperti panadol dan minyak angin. Ayah pun sudah makan, awal-awal (berita kehilangan Jaslinda) dia tidak makan,” katanya.

Dalam pada itu, Nurr Ashikin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada semua pasukan yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR) sepanjang enam hari pencarian dijalankan.

“Saya bagi pihak ayah dan keluarga, mengucapkan terima kasih. Kami sangat hargai usaha semua pihak yang terlibat dalam operasi pencarian ibu,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang pendaki wanita dilaporkan hilang ketika menyertai ekspedisi pendakian Trans Spencer Chapman di Gunung Batu Putih bersama 13 rakan pendaki lain serta dua malim gunung.

Difahamkan, mangsa yang cedera di kaki sebelum itu berhenti rehat bersama seorang lagi pendaki lelaki dan seorang malim gunung di Kem Batu Core selepas lelaki terbabit mengalami masalah pernafasan.

Bagaimanapun, Jaslinda gagal dikesan selepas wanita itu dipercayai meneruskan perjalanan ke puncak gunung.- KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |