PETALING JAYA – “Alin tengok ramai yang terus bagi gift (hadiah) dan sokongan hanya kerana individu tersebut memakai pakaian atau lambang bendera P (Palestin).”
Demikian antara hantaran yang dimuat naik pengguna Facebook, Alin Maslina, dalam memberi peringatan kepada orang ramai agar lebih berhati-hati sebelum menyalurkan ‘gift’ atau sumbangan kepada individu yang membuat siaran langsung (live) di platform media sosial, terutama menggunakan lambang Palestin.
Kata wanita itu, ada individu yang dengan sengaja tampil dalam siaran langsung memakai pakaian seragam seperti tentera dan menampal pelekat bendera Palestin seolah-olah mereka sedang berjuang demi pembebasan rakyat negara itu.
Keadaan ini juga dilihat antara modus operandi untuk meraih simpatan pengguna media sosial sekali gus mendapat keuntungan daripada pemberian hadiah digital itu.
“Setakat yang Alin tahu, askar ‘P’ biasanya sangat sibuk dengan amanah mereka. Kebanyakannya berpakaian biasa ketika dan bukan semua mempunyai masa untuk bersiaran langsung setiap hari. Hanya sesetengah je sarung uniform,” jelasnya.
Alin turut mendakwa selepas dia meninggalkan komen peringatan dalam salah satu siaran langsung dikendalilan individu yang kononnya bertugas demi Palestin, komen tersebut telah dipadam dan wanita itu juga dihalang untuk terus berada dalam sesi berkenaan.
Situasi itu, katanya, menimbulkan kebimbangan terhadap kewujudan pihak tidak bertanggungjawab yang mungkin mengambil kesempatan terhadap emosi dan simpati pengguna media sosial terhadap rakyat Palestin untuk meraih sumbangan.
Sehubungan itu, Alin menasihatkan orang ramai supaya lebih berwaspada dan melakukan semakan terlebih dahulu sebelum memberi sebarang ‘gift’ atau sumbangan, meskipun ia kelihatan meyakinkan di skrin.
“Jangan mudah percaya hanya kerana pakaian, lencana atau cerita yang dipaparkan di skrin. Sokongan kita biarlah sampai terus kepada P (Palestin) dan G (Gaza),” katanya.
Dalam pada itu, pengguna Facebook yang dikenali sebagai Akim Fc turut meninggalkan komen mendakwa terdapat individu tidak bertanggungjawab yang menggunakan taktik meletakkan bendera Malaysia sebagai latar dan duduk di dalam khemah seperti kehidupan terkini rakyat Palestin di kawasan perairan Gaza.
“Scammer (penipu) terbesar. Satu lagi duduk dalam khemah belakang bendera Malaysia. Mereka sanggup buat khemah macam itu nak raih simpati orang Malaysia. Selalunya yang buat ni orang Mesir,” tulisnya. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
6





![[VIDEO] ‘Allah dah makbulkan doa ayah nak disemadikan di Mekah’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/HAJI-TANAH-SUCI.jpeg)






































