AS nafi akan sertai Israel serang Iran

8 hours ago 3

WASHINGTON – White House menegaskan bahawa tentera Amerika Syarikat (AS) kekal berada dalam ‘kedudukan pertahanan’ di Asia Barat meskipun terdapat peningkatan aktiviti ketenteraan berhubung perang Israel-Iran di rantau tersebut.

Presiden Donald Trump menerusi laman sosialnya, Truth Social mengeluarkan arahan agar penduduk mengosongkan Tehran.

Ia menimbulkan spekulasi bahawa AS mungkin bersedia untuk menyertai Israel dalam menyerang Iran.

Keraguan itu meningkat lagi selepas Washington mengumumkan bahawa Trump akan meninggalkan sidang kemuncak Kumpulan Tujuh (G7) di Kanada dan kembali ke White House sehari lebih awal ekoran konflik Asia Barat yang semakin meningkat.

Bagaimanapun, pegawai-pegawai White House dan Pentagon mengulangi bahawa tentera AS di rantau itu kekal dalam postur pertahanan.

Jurucakap White House, Alex Pfeiffer membalas hantaran-hantaran di media sosial yang mendakwa bahawa AS akan menyerang Iran dengan berkata: “Ini tidak benar.”

“Pasukan Amerika mengekalkan kedudukan pertahanan mereka, dan ia tidak berubah,” katanya.

Ketua Pentagon, Pete Hegseth juga memberitahu saluran berita Fox News dalam satu temu bual bahawa tentera AS ditempatkan secara defensif di rantau tersebut bagi mengejar perjanjian damai.

“Kami pastinya berharap itulah yang berlaku,” katanya.

Terdahulu, Hegseth mengumumkan bahawa dia mengarahkan penggunaan ‘keupayaan tambahan’ pada hujung minggu lalu ke Asia Barat.

“Melindungi pasukan AS adalah keutamaan kami dan pengerahan ini bertujuan untuk meningkatkan kedudukan pertahanan kami di rantau tersebut,” tulisnya di platform X.

Kenyataan itu dibuat selepas kapal pengangkut pesawat, USS Nimitz dikesan meninggalkan rantau Asia Tenggara semalam dan di tengah-tengah laporan bahawa berpuluh-puluh pesawat tentera AS sedang menuju ke seberang Atlantik. – AFP 

Read Entire Article
Pertanian | | | |