KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini menerima Anugerah Kepimpinan Kewangan Islam Global 2025 sebagai pengiktirafan terhadap kepimpinan beliau menjadikan Malaysia peneraju kewangan Islam dunia.
Anugerah tersebut disampaikan oleh Pengerusi Anugerah Kewangan Islam Global (GIFA), Dr. Humayon Dar dalam satu majlis berprestij yang berlangsung di sini, hari ini.
Anwar berkata, beliau bangga menjadi sebahagian daripada komuniti perbankan dan kewangan Islam, namun menegaskan bahawa penghargaan tersebut bukanlah untuk dirinya semata-mata, sebaliknya mewakili usaha kolektif ramai pihak.
“Apa jua sumbangan kecil yang saya lakukan, pengiktirafan ini sebenarnya adalah untuk mereka yang telah berkhidmat, berkorban, dan memberikan dedikasi yang jauh lebih besar daripada diri saya.
“Anugerah ini sebenarnya adalah milik para perintis, aktivis, sarjana, ahli akademik, pemikir dan penggerak yang telah membina asas kukuh kewangan Islam sejak awal lagi,” katanya ketika berucap pada majlis tersebut, hari ini.
Tambah Anwar, peranan pengawal selia yang berjaya membina rangka kerja berdaya tahan, selain inovasi institusi kewangan tempatan yang menyediakan penyelesaian patuh syariah pada skala besar juga harus dipuji.
“Anugerah ini sebenarnya untuk mereka yang telah berkhidmat dengan penuh dedikasi, sebagai dorongan agar mereka terus cemerlang dalam bidang ini,” ujarnya.
Untuk rekod, Anwar merupakan Perdana Menteri kedua menerima anugerah ini selepas Perdana Menteri kelima, Allahyarham Tun Abdullah Ahmad Badawi.
Antara penerima lain sebelum ini juga termasuklah Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah ibni.
Sementara itu, Humayon dalam ucapannya berkata penganugerahan ini adalah bukti dedikasi, ketabahan, dan kepimpinan Anwar yang berpandangan jauh.
Beliau berkata komitmen Perdana Menteri itu tidak pernah luntur terhadap keadilan, pembangunan sosioekonomi dan pemberdayaan masyarakat sangat seiring dengan asas kewangan Islam.
“Di bawah kepimpinan beliau, Malaysia bukan sahaja mengukuhkan kedudukan sebagai peneraju global dalam kewangan Islam, malah turut mempelopori inovasi, keterangkuman, dan pengintegrasian nilai etika dalam sistem kewangan.
“Fokus beliau terhadap pendidikan, pembangunan mampan, dan ekonomi yang adil telah mengilhamkan dasar-dasar yang memberi kesan besar, bukan sahaja kepada Malaysia, tetapi juga kepada dunia Islam dan masyarakat antarabangsa,” katanya. – KOSMO! ONLINE