Andalusia sasar 8,000 pelanggan sepanjang Matta Fair

11 hours ago 5

KUALA LUMPUR – Syarikat pengendali umrah dan haji, Andalusia Travel & Tours Sdn. Bhd. (Andalusia) menyasarkan sebanyak 8,000 pelanggan berdaftar pakej Umrah Musim 1448H sepanjang berlangsungnya Matta Fair 2025 di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) sehingga Ahad ini.

Pengerusi Eksekutif Andalusia, Datuk Md. Daud Che Ngah berkata, keyakinan itu disandarkan kepada sambutan menggalakkan setiap kali pameran tersebut diadakan.

“Untuk Matta Fair kali ini kita meletakkan sasaran 8,000 pelanggan dalam tempoh tiga hari. Biasanya, setiap tahun angka yang dicapai hampir menghampiri sasaran, meskipun tidak tepat kepada jumlah ditetapkan,” katanya pada sidang akhbar di sini, hari ini.

Md. Daud menjelaskan, Andalusia menawarkan harga pakej bermula RM7,490 dengan diskaun RM200 bagi pakej penerbangan Saudia Airlines (Saudia) yang dijadualkan pada Jun, Julai, Ogos, September dan Oktober 2026.

Jelasnya, bagi penginapan di Mekah, jemaah bakal ditempatkan di hotel seperti Olayan Al Haram, Malak Ajyad, Elaf Al Khair, Emaar Sultan dan setaraf, yang terletak kira-kira 350 hingga 450 meter dari Dataran Masjidil Haram.

“Sementara itu, di Madinah, jemaah akan menginap di Hayah Plaza, Qasr Al Ansar dan setaraf dengan jarak sekitar 180 meter ke Dataran Masjid Nabawi.

“Selain itu, kemudahan penerbangan turut menekankan keselesaan penumpang dengan seat kelas ekonomi yang lebih luas serta ruang solat di dalam pesawat,” ujarnya.

Katanya, bagi tahun ini syarikat menyasarkan 80,000 pelanggan berdaftar untuk mengerjakan umrah bagi pakej berkenaan.

“Setakat ini sambutan masih rancak kerana pameran baru bermula. Kami yakin angka itu mampu dicapai dengan pelbagai promosi dan program yang dilaksanakan,” jelasnya.

Beliau berkata, selain promosi di Matta Fair, Andalusia juga mengadakan program sokongan di 65 cawangan seluruh negara termasuk tawaran istimewa, cabutan bertuah dan hadiah lumayan.

“Antaranya termasuk hadiah umrah dan haji percuma, motosikal serta kereta sebagai galakan kepada pelanggan,” katanya.

Md. Daud menambah, pada Matta Fair edisi April lalu, Andalusia berjaya menarik seramai 4,000 pelanggan berdaftar sepanjang pameran berlangsung. – KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |