ALP labur RM500 juta untuk projek pembangunan Omega 2

8 hours ago 9

PETALING JAYA – Ally Logistic Property (ALP), pemaju dan pengendali infrastruktur logistik pintar yang berpangkalan di Taiwan, melabur kira-kira RM500 juta untuk projek pembangunan kemudahan rantai sejuk pintar binaan khas pertamanya di negara yang dikenali sebagai Omega 2 Shah Alam.

Kemudahan yang berkeluasan 3.6 hektar itu dijangka siap menjelang suku kedua tahun 2028.

Pengarah Urusan ALP Malaysia, Bryan Yeo berkata, Omega 2 Shah Alam akan menjadi kemudahan rantai sejuk AS/RS berbilang tingkat pertama di Malaysia yang dibina oleh pemaju.

Kemudahan ini direka berdasarkan model pelbagai ­penyewa yang akan membo­lehkan pelbagai rantaian bekalan beroperasi dalam ekosistem infrastruktur bersama bagi mengurangkan pertindihan aset logistik.

Ia juga direka sebagai hab logistik pelbagai suhu dan kemudahan ini akan menyepadukan zon penyimpanan ambien, berhawa dingin, sejuk dan beku untuk ­menyokong keperluan sektor makanan dan minuman, farmaseutikal, peruncitan serta e-dagang yang kian berkembang.

“Projek ini seiring dengan permintaan terhadap infrastruktur rantai sejuk moden di Malaysia semakin meningkat, yang mana kemudahan penyimpanan sejuk binaan khas dan automatik masih terhad meskipun terdapat pertumbuhan pesat dalam industri sensitif suhu.

“Logistik rantai sejuk kini semakin penting bagaimanapun, pasaran infrastruktur rantai sejuk Malaysia masih belum dicapai sepenuhnya dari segi automasi, kebolehskalaan dan kecekapan tenaga,” katanya dalam kenya­taan baru-baru ini.

Yeo menjelaskan, Omega 2 Shah Alam ini dapat ­menyediakan penyelesaian rantai sejuk yang lebih pintar dan mampan.

Ia dijangka dapat mengurangkan penggunaan tenaga, mengoptimumkan penggunaan sumber dan meningkatkan kecekapan operasi berbanding kemudahan penyimpanan sejuk konvensional. -KOSMO! ONLINE

Read Entire Article
Pertanian | | | |