PETALING JAYA – “Alhamdulillah, anak dapat UiTM.”
Itu antara luahan syukur oleh ibu bapa selepas keputusan permohonan kemasukan ke Universiti Awam (UA) Institusi Pendidikan Tinggi Awam (IPTA) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT) dan Mara Bahagian Pendidikan Tinggi (Mara BPT) bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) boleh disemak bermula pukul 12 tengah hari tadi.
Tinjauan di media sosial mendapati ramai ibu bapa berkongsi keterujaan apabila anak masing-masing berjaya melanjutkan pengajian ke peringkat sijil, asasi dan diploma sesi akademik 2026/2027.
Antara yang menjadi perhatian ialah perkongsian seorang ibu, Nasuha yang memuat naik tangkap layar keputusan anaknya diterima mengikuti pengajian Diploma Pengajian Perniagaan di Universiti Teknologi MARA (UiTM)
“Penat lelah selama ini rasa berbaloi. Alhamdulillah, anak dapat UiTM. Semoga dipermudahkan urusan dia di sana nanti,” tulisnya.
Seorang lagi bapa, Azrul Yamin pula meluahkan rasa bangga apabila anak sulungnya berjaya mendapat tempat di UiTM Pulau Pinang dalam bidang kejuruteraan elektrik walaupun sebelum ini pernah berdepan tekanan ketika menduduki SPM.
“Dulu dia selalu rasa rendah diri sebab keputusan percubaan SPM tak begitu baik. SPM baru ini dia sudah buktikan dia mampu dan hari ini impiannya nak jadi seorang jurutera profesional sudah bermula. Tahniah anak abah, moga jadi abang yang hebat dan contoh untuk adik Nana dan adik Haziq,” katanya.
Selain UiTM, ramai pelajar dan ibu bapa turut berkongsi kejayaan menerima tawaran ke universiti lain termasuk Universiti Malaya, Universiti Kebangsaan Malaysia dan Universiti Putra Malaysia.
Di platform Threads dan Facebook, ruangan komen turut dibanjiri ucapan tahniah selain doa daripada ahli keluarga dan rakan-rakan.
“Tahniah anak-anak semua. Ini baru permulaan perjalanan. Belajar bersungguh-sungguh dan jaga ibu bapa,” komen Indah.
“Hari ini keputusan UPU keluar. Anak saya berjaya mendapat tawaran Diploma Kejuruteraan Awam di Polimas (Politeknik Sultan Abdul Halim Muadzam Shah),” kata pengguna lain.
Dalam pada itu, ada juga ibu bapa yang mengakui sedikit sebak apabila mengenangkan anak-anak bakal berjauhan demi menyambung pengajian.
“Rumah nanti mesti sunyi, tapi ini demi masa depan dia. Moga kakak kuat berada di alam universiti. Tapi ibu yang sebenarnya lebih sedih. Muka kakak tadi nampak teruja nak sambung belajar,” luah Jamaliah.
Terdahulu, semakan keputusan permohonan UPU bagi kemasukan ke UA, IPTA dan Mara BPT bagi peringkat sijil, asasi dan diploma sesi akademik 2026/2027 untuk lepasan SPM mula dibuka bermula pukul 12 tengah hari, hari ini hingga pukul 5 petang, 31 Mei depan.
Sebelum ini, Kementerian Pendidikan Tinggi dilaporkan berkata, semakan boleh dibuat secara atas talian menerusi portal rasmi UPUOnline di UPUOnline selain melalui aplikasi mudah alih UPUPocket dan MyGov di telefon pintar.
“Pengesahan setuju terima tawaran pula dibuka bermula 23 hingga 31 Mei 2026 di laman web UA, IPTA dan Mara BPT.
“Surat tawaran rasmi akan dikeluarkan kepada calon yang berjaya mulai 23 Mei selepas calon membuat pengesahan setuju terima tawaran dalam tempoh ditetapkan,” katanya. – KOSMO! ONLINE

12 hours ago
7

















![[VIDEO] Kami dipukul, dicabul, direnjat – Peserta Sumud](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/05/efa607c1-337b-4e4b-9541-fd65320bd45d.jpeg)





























