PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang pendaki wanita, Jaslinda Saludin, 49, sejak dua minggu lalu akhirnya terjawab apabila mangsa ditemui selamat petang semalam.
Mangsa dilaporkan ditemui oleh seorang lelaki Orang Asli yang sedang memancing kira-kira pukul 5 petang dalam keadaan terhoyong-hayang dan keletihan.
Berita penemuan itu disambut penuh syukur oleh ahli keluarga selepas pelbagai usaha pencarian dijalankan oleh pasukan penyelamat serta orang ramai sejak kehilangan mangsa dilaporkan.
Anak Jaslinda menerusi satu hantaran di media sosial meluahkan rasa syukur yang tidak terhingga atas keselamatan ibunya.
“Alhamdulillah, syukur Ya Allah. Allah Maha Besar, tiada yang mustahil bagi kuasa-Mu. Ibu kami, Jaslinda binti Saludin telah selamat dijumpai pada 6 Jun 2026.
“Pagi itu saya, ayah dan kakak sulung berhasrat ke kaki gunung untuk menunaikan solat hajat dan membaca Yasin. Hanya Allah SWT sahaja yang tahu perasaan kami ketika itu, kami benar-benar berserah kepada-Nya,” katanya.
Menurutnya, doa yang dipanjatkan akhirnya dimakbulkan apabila ibunya ditemui pada petang hari yang sama.
Beliau turut merakamkan penghargaan kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat (SAR), termasuk pasukan Orang Asli, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Pasukan Gerakan Am (PGA), Majlis Pengurusan Komuniti Kampung (MPKK), pertubuhan bukan kerajaan (NGO), Pejabat Daerah serta individu yang tidak putus-putus mendoakan keselamatan mangsa.
“Hanya Allah SWT dapat membalas segala jasa baik kalian. Terima kasih kepada semua yang mendoakan, melakukan solat hajat, bacaan Yasin dan membantu apa sahaja yang termampu,” ujarnya.
Terdahulu, kehilangan Jaslinda mencetuskan kebimbangan ramai dan operasi pencarian berskala besar digerakkan bagi mengesan keberadaannya di kawasan hutan berkenaan. – KOSMO! ONLINE

14 hours ago
8









![[VIDEO] Enam maut SUV bertembung lori](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/ENAM-MAUT-SUV.jpeg)



































