SEPANG – AirAsia dinobatkan sebagai Syarikat Penerbangan Tambang Rendah Terbaik Dunia di Anugerah Skytrax World Airline 2025, sekali gus membuktikan keupayaan syarikat itu dalam menawarkan perkhidmatan terbaik kepada setiap penumpang.
Ketua Pegawai Eksekutif Capital A ,Tan Sri Tony Fernandes berkata, kemenangan selama 16 tahun berturut-turut itu disifatkan begitu bermakna dan memberikan inspirasi untuk menawarkan perkhidmatan lebih baik.
“Kemenangan ini benar-benar menyentuh hati saya yang hanya menerbangkan 200,000 tetamu pada tahun pertama dan kini mensasarkan untuk menyambut tetamu ke satu bilion pada tahun ini.
“Perjalanan ini tidak mungkin akan berlaku tanpa sokongan padu daripada semua penumpanh serta dedikasi berterusan Allstars yang luar biasa.
“Setiap cabaran, setiap kebangkitan, semuanya kerana kepercayaan dan usaha mereka. Kami ingin mengucapkan berterima kasih kepada pasukan Skytrax kerana mengiktiraf usaha ini,” katanya dalam satu kenyataan di sini tadi.
Terdahulu, anugerah itu diterima Pengerusi Capital A dan Pengasas Bersama AirAsia, Datuk Kamarudin Meranun sempena Paris Air Show 2025 yang diadakan di Perancis semalam.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Skytrax, Edward Plaisted berkata, kejayaan AirAsia kali-16 membuktikan komitmen syarikat berkenaan mereka dalam menawarkan pilihan perjalanan berkualiti dan berpatutan kepada semua.
“Pasaran syarikat penerbangan tambang rendah amat kompetitif dan terus berkembang pesat, dan anugerah ini membuktikan kejayaan AirAsia.
“Anugerah itu turut menjadi bukti kepada sumbangan AirAsia dalam menghubungkan bukan sahaja bandar utama, tetapi juga bandar kedua dan ketiga yang kurang mendapat perhatian.
“Model ini telah melancarkan laluan-laluan unik dan strategik seperti Kuala Lumpur-Labuan Bajo, Bangkok-Narathiwat, Manila-Tagbilaran, Jakarta-Silangit dan lain-lain,” katanya.
Anugerah Syarikat Penerbangan Dunia Skytrax merupakan antara pengiktirafan paling berprestij dalam industri penerbangan global.
Kajian dalam talian ini dijalankan dari September 2024 hingga Mei 2025 dengan melibatkan penyertaan lebih 100 negara dengan 22.3 juta penyertaan.
Lebih 325 syarikat penerbangan telah dipaparkan dalam hasil kajian ini. – KOSMO! ONLINE