KUALA LUMPUR – Pengaruh algoritma media sosial dan teknologi kecerdasan buatan (AI) kini menjadi antara cabaran terbesar kepada institusi agama apabila semakin berupaya membentuk pemikiran, nilai dan pandangan hidup generasi muda.
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah bertitah, fenomena itu berlaku ketika dunia berdepan pelbagai krisis yang saling berkait termasuk konflik, perubahan iklim, ketidaktentuan ekonomi, perpindahan penduduk, polarisasi digital dan kemerosotan kepercayaan terhadap institusi.
Menurut baginda, di sebalik cabaran tersebut, wujud satu krisis yang lebih mendalam iaitu kehilangan makna kehidupan, rasa kebersamaan dan kepercayaan, khususnya dalam kalangan generasi muda.
“Golongan muda hari ini bertanya soalan-soalan asas seperti di mana mereka berada, siapa yang boleh dipercayai, nilai apa yang masih penting dan masa depan apakah yang sedang kita bina bersama.
“Suara yang memecahbelahkan masyarakat kini disebarkan menerusi platform digital yang tidak kita kawal dan menggunakan bahasa yang kita lambat fahami,” titah baginda ketika merasmikan Sidang Kemuncak Pemimpin Agama Antarabangsa Ke-3 Tahun 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) di sini hari ini.
Sultan Nazrin bertitah, generasi muda kini berhadapan pengaruh algoritma yang mampu menyebarkan mesej kebencian dan perpecahan pada kadar jauh lebih pantas berbanding kaedah tradisional.
“Suara itu bukan seorang ulama, imam, paderi, rabbi atau sami. Ia adalah algoritma.
“Algoritma tersebut digunakan untuk keuntungan pihak tertentu yang memperalatkan agama dan sentimen masyarakat,” titah baginda.
Baginda berkata, golongan ekstremis dan pemimpin agama kini sebenarnya sedang bersaing untuk memenangi hati generasi muda menggunakan bahasa serta istilah keagamaan yang sama.
Sehubungan itu, katanya pemimpin agama perlu lebih responsif terhadap realiti semasa tanpa mengorbankan nilai serta kebijaksanaan yang menjadi asas tradisi masing-masing.
“Teknologi boleh menyampaikan maklumat, namun hanya manusia mampu membentuk nilai, makna kehidupan dan suara hati.
“Jika usaha membina rasa kebersamaan diserahkan kepada mesin dan pihak yang memanipulasikannya, kita tidak seharusnya terkejut apabila generasi muda semakin menjauh,” titahnya.
Tambahnya, baginda turut menggesa institusi agama membuka lebih banyak ruang kepada golongan muda untuk terlibat secara langsung dalam usaha membina keamanan, persefahaman dan keharmonian masyarakat. – KOSMO! ONLINE

7 hours ago
5














































