KUALA LUMPUR – Jenama aiskrim dan teh terkenal dari Indonesia, Ai-CHA mencatat sejarah tersendiri apabila membuka 300 cawangan di Malaysia dalam tempoh hanya setahun, sekali gus menerima dua pengiktirafan berprestij.
Pencapaian luar biasa itu diiktiraf oleh Malaysia Book of Records (MBR) menerusi dua anugerah iaitu Rangkaian Kedai Aiskrim Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun dan Rangkaian Kedai Minuman Paling Banyak Dibuka Dalam Setahun.
Selain itu, Ai-CHA turut merangkul Anugerah Pilihan Pengguna 2025/2026 daripada Majlis Tindakan Pengguna Negara (MTPN) yang disampaikan oleh Timbalan Presidennya, Prof. Jericho Tang Kit Wai.
Timbalan Pengurus Besar Ai-CHA Global, Danny Tahardi berkata, pengiktirafan yang diterima Ai-CHA membuktikan komitmen jenamanya terhadap kecemerlangan dalam industri makanan dan minuman (F&B).
“Kejayaan ini menjadi pemangkin untuk kami terus berusaha dalam mengekalkan kedudukan sebagai jenama dipercayai di pasaran tempatan dan antarabangsa.
“Mencapai 300 cawangan dalam tempoh setahun merupakan satu kejayaan besar, dan kami amat menghargai kepercayaan pelanggan. Kami komited untuk terus mencipta lebih banyak pengalaman manis bersama rakyat Malaysia,” katanya ketika berucap di Majlis Pengiktirafan MBR dan MTPN di sini hari ini.
Sementara itu, Pengarah Ai-CHA Malaysia, Vincent Ong berkata, kejayaan tersebut dicapai hasil sambutan rakyat tempatan dan model perniagaan francais yang mesra pelabur dengan pelaburan permulaan serendah RM100,000.
“Ai-CHA berkembang pantas ke bandar utama dan kawasan yang sebelum ini kurang diliputi jenama antarabangsa. Ini bukti bahawa gabungan inovasi, pemahaman pasaran tempatan dan semangat tinggi mampu cipta kejayaan,” katanya.
Dengan harga antara RM2 hingga RM7, Ai-CHA menjadi pilihan popular dalam orang ramai menerusi menu laris termasuk Aiskrim Sea Salt, Ai-Shake Mango Cup dan Supreme Mix Milk Tea.
Ai-CHA kini menyasarkan untuk terus melebarkan sayap ke kawasan pinggir bandar dan Malaysia Timur, terutamanya Sabah dan Sarawak yang mempunyai permintaan tinggi tetapi kurang persaingan. – KOSMO! ONLINE