KUALA LUMPUR – Ahli Pertubuhan Ikram Malaysia (Ikram) Hulu Selangor didakwa lagi di Mahkamah Sesyen di sini ini hari ini atas 17 pertuduhan pengubahan wang haram membabitkan wang berjumlah lebih RM17.9 juta antara 2021 hingga 2025.
Bagaimanapun tertuduh Fakhrudin Abd Karim, 57, mengaku tidak bersalah selepas kesemua pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Hakim Azrul Darus.
“Faham, mohon bicara (mengaku tidak bersalah),” kata Fakharudin.
Mengikut tujuh pertuduhan tertuduh didakwa melakukan pengubahan wang haram berjumlah RM10.54 juta dengan memindahkan wang itu hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun sebuah syarikat bagi pembayaran ‘Proposed Design For New Bungalow’ di Bandar Kundang, Gombak, rumah kediaman miliknya.
Pada masa sama, Fakhrudin turut didakwa memindahkan wang hasil daripada aktiviti haram berjumlah RM2.66 juta daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada akaun kad kredit miliknya untuk pembayaran kad kredit berkenaan.
Sementara itu bagi 10 lagi pertuduhan tertuduh didakwa memindahkan wang berjumlah RM4.7 juta hasil daripada aktiviti haram daripada akaun bank Ehsan Cares Solution kepada dua akaun dua buah syarikat.
Ia yang mana wang-wang itu untuk pembayaran kenderaan mewah jenis Mercedes Benz/ AMG S63, Range Rover SVA, Porsche/ 911 Carrera S S-A, Porsche/ 911 Turbo S S-A dan Toyota Alphard selain pembayaran kenderaan jenis Lexus RX300 yang dibuat melalui sekeping cek dari akaun bank Fakhrudin ke akaun sebuah syarikat.
Kesemua kesalahan itu didakwa di dua bank di Bangsar dan Bukit Bintang, Jalan Sultan Ismail antara 6 Jan 2021 hingga 21 April 2025.
Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 4(1)(b) Akta Pencegahan Pengubahan Wang Haram, Pencegahan Pembiayaan Keganasan dan Hasil Daripada Aktiviti Haram 2001 (Akta 613), yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 15 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai hasil aktiviti haram atau RM5 juta, mengikut mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan
Mahkamah kemudian membenarkan tertuduh diikat jamin RM500,000 berserta syarat sama seperti mana yang diberikan oleh Mahkamah Sesyen Shah Alam sebelum ini.
Semasa prosiding pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Datuk Ahmad Akram Gharib manakala tertuduh diwakili peguam Datuk N. Sivananthan.
Mahkamah kemudian menetapkan 7 Ogos ini bagi sebutan semula kes yang mana prosiding sebutan itu akan disebut di Mahkamah Sesyen Shah Alam.
Sebelum ini pada 16 Jun lalu, Fakhrudin telah didakwa dan mengaku tidak bersalah bersalah di Mahkamah Sesyen Shah Alam atas 158 pertuduhan menggunakan kedudukannya bagi suapan berjumlah RM98.27 juta antara 2021 hingga tahun lalu.
Fakhrudin membuat pengakuan itu di hadapan Hakim Datuk Mohd. Nasir Nordin selepas semua pertuduhan dibacakan secara berasingan yang mengambil masa hampir dua jam. – KOSMO! ONLINE

15 hours ago
6





![[VIDEO] ‘Tujuh hari terasa panjang, banyak ruang kosong’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/06/nancy.jpeg)









































![[VIDEO] ‘Pinjam duit mak ayah, jangan buat senyap’](http://www.kosmo.com.my/wp-content/uploads/2026/02/WhatsApp-Image-2026-02-26-at-09.59.45.jpeg)

