AGC diberi tiga bulan serah notis terus kepada Yusoff Rawther

3 hours ago 4

PUTRAJAYA – Jabatan Peguam Negara (AGC) diberikan tempoh selama tiga bulan untuk menyempurnakan penyerahan notis rayuan secara persendirian kepada Muhammed Yusoff Rawther yang sebelum ini dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan mengedar dadah dan memiliki dua pistol tiruan.

Lelaki itu berada di United Kingdom (UK) sejak Jun 2025 selepas dilepas dan dibebaskan daripada pertuduhan tersebut di akhir kes pendakwaan pada 12 Jun 2025 dan telah memohon perlindungan suaka hak asasi manusia dari negara berkenaan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Datuk Azman Abdullah mengarahkan AGC untuk berbuat demikian bersesuaian dengan peruntukan Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah.

“Pihak perayu (AGC) dan (peguam) responden bersetuju bahawa notis rayuan adalah wajib untuk diserahkan sebagaimana Seksyen 314 Kanun Tatacara Jenayah. Kehadiran responden melalui Zoom (dalam talian) tidak mencukupi.

“Pihak perayu (perlu) terus mengambil tindakan yang wajar untuk memastikan serahan notis secara persendirian dan mengambil segala usaha.

“Mahkamah akan berikan tarikh baharu untuk sebutan sebelum membuat sebarang ketetapan sama ada rayuan wajar diteruskan atau sebaliknya,” kata Azman yang turut bersidang bersama Hakim Datuk Mohd. Radzi Abdul Hamid dan Hakim K. Muniandy.

Panel turut menyarankan kepada pendakwaan agar mengambil segala usaha untuk menyerahkan notis tersebut kepada Muhammed Yusoff.

“Pihak perayu boleh gunakan bantuan diplomatik untuk serahan atau mungkin boleh berhubung dengan pihak yang memegang pasport responden untuk menghantar responden pulang, mungkin terdapat syarat-syarat tertentu yang perlu dipatuhi,” ujar mereka.

Terdahulu, AGC yang diwakili Timbalan Pendakwa Raya, Mohd. Asnawi Abu Hanipah memaklumkan bahawa notis rayuan tidak dapat diserahkan kepada Muhammed Yusoff.

“Selepas mendapat tarikh sebutan, pihak kami telah cuba untuk menyerahkan notis rayuan kepada responden, namun dua minggu lalu kami menerima surat daripada peguam responden memaklumkan bahawa responden tiada di dalam negara ini.

“Kami kemudian telah membuat semakan dengan Jabatan Imigresen dan disahkan bahawa responden telah keluar dari Malaysia pada Jun 2025 dan masih belum ada rekod masuk (semula ke Malaysia).

“Dalam keadaan sekarang yang mana responden juga telah memaklumkan bahawa dia tidak akan kembali ke Malaysia dan telah memohon suaka, kami memohon agar rayuan diteruskan dan sekiranya kehadiran masih diperlukan, mungkin mahkamah boleh mengarahkan kehadiran responden melalui Zoom,” kata Mohd. Asnawi.

Mohd. Asnawi berkata, dalam rayuan membabitkan Koperal Sirul Azhar Umar di Mahkamah Persekutuan, panel hakim ketika itu tetap meneruskan pendengaran rayuan tanpa kehadiran bekas anggota polis itu.

Sementara itu, peguam Muhammad Rafique Rashid Ali yang mewakili Muhammed Yusoff memberitahu, anak guamnya mengetahui dan mengambil maklum mengenai rayuan yang difailkan serta tidak mempunyai sebarang masalah sekiranya rayuan diteruskan.

Katanya, pihaknya juga baharu mengetahui mengenai permohonan suaka oleh anak guamnya pada 1 Jun lalu.

Beliau turut mengesahkan bahawa notis rayuan masih tidak diserahkan terus kepada anak guamnya.

Mohd. Asnawi kemudian memaklumkan bahawa untuk perbicaraan, kehadiran responden adalah wajib. namun prosiding hari ini merupakan rayuan.

“Dalam keadaan ini, tidak ada halangan untuk rayuan diteruskan tanpa kehadiran tetapi kebimbangan kami ialah apabila mahkamah mengarahkan responden untuk membela diri. (Pada ketika itu), mahkamah boleh keluarkan arahan untuk responden balik (ke Malaysia) atau kita akan minta bantuan diplomatik,” kata Mohd. Asnawi.

Selepas membuat pertimbangan, mahkamah menetapkan 8 September ini untuk sebutan semula rayuan berkenaan.

Read Entire Article
Pertanian | | | |